
PERLAWANAN Liga Super antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Negeri Sembilan FC pada Selasa jelas membuka mata banyak pihak.
Ramai yang kagum dengan semangat melawan Negeri Sembilan yang berjaya menjaringkan tiga gol walaupun kemudiannya tumpas 3-5.
Namun, dari sudut pandang JDT, ia adalah perkara yang merisaukan kerana sudah lama pintu gol Harimau Selatan tidak dirobek sebegitu banyak di peringkat domestik.
BACA LAGI: Cemerlang kawal tengah jumpa JDT, Selangor didesak ambil semula jeneral import dipinjam NSFC
BACA LAGI: Usah risau Liverpool, kalah 'piala dulang' bantu The Reds elak 'sumpahan' Perisai Komuniti FA
JDT mengalami masa sukar ketika bertemu Negeri Sembilan.
Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Hanif Miswan, ketika ini Munoz sedang cuba untuk menerapkan resipinya yang tersendiri di JDT menerusi taktikalnya.
"Saya rasa dia cuba untuk menerapkan beberapa taktikal yang berbeza, dengan beberapa pemain berbeza. Kita sendiri nampak musim ni, JDT pun dibarisi dengan ramai muka baharu, jadi dia nak cuba ada resipi sendiri terutamanya dalam kesebelasan utama.
"Kalau nak cakap dari segi perbezaan dengan jurulatih sebelum ini, masih belum kita dapat lihat kelainannya, mungkin baru dua perlawanan. Cuba kita beri dalam tiga, empat perlawanan baru boleh nampak perbezaan taktikalnya," kata Hanif kepada Majoriti.
Walaupun cuba menerapkan taktikal sendiri, Munoz harus sedar yang dia tidak mempunyai masa yang lama untuk menjadikan ia sempurna.
Hal ini kerana, JDT akan bersaing di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan jika Munoz mengambil masa terlalu lama, pasti Harimau Selatan akan merana.
"Untuk kelab seperti JDT, saya tak rasa masa itu adalah sebuah kemewahan buat seorang jurulatih, dia tidak boleh meminta masa untuk membentuk taktikal seperti yang dia mahukan. Dia kena cepat sebab JDT adalah kelab besar dan Munoz pun sudah bersama mereka sejak pra-musim.
"Dia mesti kaji semula perlawanan bertemu Negeri Sembilan sebab di ACLE, dia tidak boleh buat kesilapan yang sama. Dia tidak boleh ada ruang seperti ketinggalan 0-2 di tempat sendiri kerana di Asia lawannya lebih bagus dan kuat.
"Itu adalah perkara yang perlu dilakukan dengan cepat kerana kelab macam JDT ni mereka tak boleh ada apa-apa kelompongan, kalau tidak pasti akan dihukum," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram