Perjalanan masih panjang, tak adil jadikan aksi berdepan NSFC penanda aras Xisco Munoz di JDT


  • Podium
  • Selasa, 19 Ogos 2025

JDT kini mendahului saingan Liga Super dengan enam mata dan kelebihan lapan jaringan selepas dua perlawanan. — Facebook/JST

PRESTASI semasa Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dilihat kurang meyakinkan dalam beberapa aksi Liga Super musim 2025/26 bukanlah sesuatu yang mengejutkan, kata pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley.

Menurut Afiq, kemasukan beberapa pemain baharu seperti Hector Hevel, Joao Figueiredo dan Jairo da Silva sememangnya memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan sistem dan falsafah permainan kelab itu, apatah lagi dengan kehadiran jurulatih baharu, Xisco Munoz.

"Mana-mana pasukan sudah tentu akan mengambil masa untuk menyesuaikan pemain baharu mereka dengan taktikal dan falsafah pasukan. Apatah lagi JDT juga kini mempunyai jurulatih baharu," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: 'Game nak habis pun masih menyerang', adrenalin skuad Jang boleh bikin Gergasi Merah 'goyang'

BACA LAGI: Lakar keputusan teruk berdepan kelab Utara, Badrul juga pernah senasib Nafuzi

JDT kini memiliki barisan pemain berkualiti di setiap posisi, namun masih dilihat dalam usaha mencari keserasian. Facebook/JST

Mengulas lanjut tentang sejauh mana prestasi JDT musim ini boleh dinilai, Afiq menegaskan bahawa masih terlalu awal untuk membuat sebarang rumusan sambil menegaskan bahawa perjalanan liga masih panjang.

"Sudah tentu. Masih terlalu awal. Liga adalah marathon. Perjalanan panjang. Kita lihat siapa akan memecut dan konsisten," ujarnya.

Mengulas prestasi barisan pertahanan skuad Harimau Selatan yang mudah dibolosi tiga gol oleh Negeri Sembilan FC saingan Liga Super baru-baru ini, Afiq menyifatkan ia berpunca daripada faktor persefahaman yang masih belum utuh dalam pasukan, selain kecemerlangan pemain lawan, Jovan Motika.

"Saya lihat faktor persefahaman. Xisco Munoz sedang cuba mencari rangkaian kesebelasan utama terbaik.

"Kemudian faktor Jovan Motika sendiri yang bijak mengatasi pertahanan JDT dalam beberapa situasi mereka sedikit terleka," tambahnya lagi.

Pengendali JDT, Xisco Munoz (kiri) masih menguji keserasian dalam kesebelasan utama. Facebook/JST

Ditanya sama ada barisan pertahanan JDT musim ini dilihat kurang mantap berbanding musim-musim sebelum ini, Afiq enggan membuat penilaian drastik.

"Masih lagi awal untuk diperkatakan. Kita sedang bercakap tentang JDT yang mana jika hari ini mereka ada sedikit kesalahan, aksi berikutnya ia sudah diatasi," jelasnya.

Namun begitu, beliau turut memberi peringatan bahawa sekiranya prestasi tidak konsisten ini berterusan, ia boleh memberi ruang kepada pasukan lain untuk mencabar dominasi Harimau Selatan dalam Liga Super.

"Mereka yang tidak konsisten akan ketinggalan, dan jika JDT gagal kekalkan rentak positif, ini merupakan peluang buat pasukan lain untuk cuba mengatasi Harimau Selatan," katanya.

Untuk rekod, JDT kini mendahului saingan Liga Super dengan enam mata dan kelebihan lapan jaringan selepas dua perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram