
BEBERAPA pemain dan staf kejurulatihan pasukan PT Athletic FC tampil membuat laporan polis selepas mendakwa tidak menerima gaji selama setahun sejak bersama kelab berkenaan.
Antara individu yang terlibat dalam laporan tersebut ialah bekas kapten Kedah Darul Aman FC, Syazwan Zainon dan Fareez Amirul, yang masing-masing pernah beraksi bersama skuad PT Athletic.
Perkara itu dikongsikan menerusi laman Instagram palataoball yang mendedahkan bahawa laporan polis telah dibuat dan pemilik pasukan kini sedang dicari.
BACA LAGI: Baru sempat turun 2 kali, Hidalgo kembali ke pangkuan JDT
"Laporan polis sudah dibuat. Pemain dan staf PT Athletic FC antaranya Syazwan Zainon dan Fareez Amirul sudah membuat laporan polis selepas gaji tidak dibayar setahun.
"Kelab yang dikenali sebagai PT Athletic itu sudah dibubarkan namun pemilik masih perlu berikan hak mereka," katanya.
Pasukan PT Athletic itu difahamkan telah dibubarkan namun para pemain dan kakitangan tetap belum menerima bayaran penuh seperti yang dipersetujui dalam kontrak masing-masing.
Laporan polis itu dibuat sebagai langkah susulan selepas beberapa rundingan dan permintaan secara dalaman kepada pihak pengurusan gagal mendapat maklum balas memuaskan.
Isu itu sekali lagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penggiat bola sepak tempatan mengenai tahap profesionalisme dan ketelusan pengurusan kelab di Malaysia.
Untuk rekod, PT Athletic FC sebelum ini beraksi dalam saingan Liga A1 Semi Pro dan merekrut ramai pemain veteran dan mempunyai pengalaman luas dalam Liga Malaysia seperti Indra Putra Mahayuddin, Amri Yahyah, Hafiz Ramdan dan Fandi Othman. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram