
KUCHING City FC (KCFC) baru kembali dari jelajah Indonesia dari 17-28 Julai dengan catatan dua menang, satu seri dan satu kalah. Jauh daripada berasa kecewa, ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, menganggap kunjungan ke negara jiran itu menghasilkan banyak perkembangan positif.
Bukan kemenangan dalam semua perlawanan di sana yang dicari-carinya tetapi lebih kepada menguji kesesuaian dan keserasian pemain menjelang perlawanan pertama dalam Liga Super musim 2025/2026 menentang Kelantan The Real Warriors (TRW) FC di Stadium Negeri Sarawak pada 9 Ogos.
Dalam aksi pusingan 16 Piala FA pula, KCFC akan lebih dahulu berkunjung ke Bandar Seri Begawan untuk berdepan pendatang baru, DPMM FC, pada 16 Ogos.
BACA LAGI: Terengganu FC raih semangat daripada bas baharu, gandingan baharu
BACA LAGI: Matyo jadi ‘poster boy’ KRW berebutkan sokongan peminat — Irfan Bakti
"Kami mendapat pendedahan pramusim yang bagus,” kongsinya dengan Bola Pegun. “Suasananya berbeza di Indonesia. Walaupun ia hanya perlawanan persahabatan, mereka memiliki penyokong yang dapat memeriahkan suasana.”
Turun di Stadium Antarabangsa Jakarta pada 18 Julai menentang PSM Makassar – pasukan di tangga keenam Liga 1 Indonesia musim lalu – pemain sayap, Ramadhan Saifullah, memberikan perbezaan dengan jaringan untuk kemenangan 1-0.
Berselang dua hari, mereka berdepan pula dengan Persita Tangerang – tangga ke-11 musim lalu – di Padang UPH yang kesudahannya menyaksikan tuan rumah menang 1-0. Persita yang diberi julukan Pendekar Cisadane kendalian jurulatih, Carlos Pena, turut menguji beberapa pemain baru, termasuk tiga pemain import, Rayco Rodriguez, Pablo Ganet dan Ryuji Utomo.
Ujian paling sengit menyusul pada 22 Julai apabila lawan yang menanti ialah Dewa United, naib juara Liga 1 musim lalu yang akan beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2 bersama Selangor FC. Sama handal, kedua-dua pasukan terikat 2-2.
Aksi itu menghadirkan kesempatan terbaik untuk import terbaru KCFC, Ronald Ngah Wanja, 33 – pernah menghabiskan semusim bersama Kedah FC pada 2022 -- meletakkan pasukannya di depan, dengan satu gol lagi hasil sepakan penalti minit akhir Joao Pedro.
“Pertandingan sore hari ini cukup seru dan berjalan ketat. Alhamdulillah, teman-teman bisa memanfaatkan momen dengan baik. Berkat kerja keras mereka juga, saya bisa mencetak dua gol hari ini,” ujar penyerang Banten Warriors itu, Septian Bagaskara, kepada media tempatan, kabartangsel.com.
Dari Tangerang, skuad The Cats berganjak ke Bekasi, Jawa Barat pada 24 Julai untuk berhadapan dengan kelab Liga 2, Garudayaksa FC – dahulunya dikenali sebagai PSKC Cimahi sebelum dimiliki oleh Presiden Prabowo Subianto. Dua gol Jordan Mintah dan satu lagi daripada Wanja melengkapkan kemenangan 3-0.
KCFC menutup jelajah Indonesia dengan perlawanan kali kedua menentang Persita yang berkesudahan dengan kekalahan 1-2 di Stadium Indomilk, Tangerang. Esal Sahrul (m-30) dan Matheus Alves (m-65) mencetak gol untuk tuan rumah sambil Daniel Amier Norhisham membalas untuk pelawat.
“Tujuan utama jelajah kami ke Indonesia ialah untuk memupuk kebersamaan pemain-pemain baik di dalam mahupun di luar padang. Ini meluangkan kesempatan untuk kami bermain menentang pasukan-pasukan kuat bagi mengesan sebarang kelemahan yang perlu diatasi.
“Hasil perlawanan-perlawanan ini, saya dapat menguji kombinasi pemain lama dan baharu untuk membentuk persefahaman mereka di dalam padang. Juga kami dapat mencuba pelbagai formasi ketika berdepan lawan dengan taktik berbeza-beza,” kata Aidil Sharin sebagai menyimpulkan persiapan pramusim pasukannya.
Selepas mengejutkan ramai dengan melonjak ke tangga keempat musim lalu – pencapaian yang mengangkat Aidil Sharin selaku jurulatih terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) – KCFC memilih untuk mengekalkan sebahagian besar skuad 2024/2025 bagi memastikan kesinambungan.
Kecuali penyerang, Kipre Tchetche, dan pemain tengah bertahan, Nando Welter, yang telah dilepaskan, tenaga import selebihnya masih memperkuatkan pasukan.
James Okwuosa dan Yuki Tanigawa terus disandarkan kepercayaan di benteng pertahanan, Moses Atede dan Petrus Shitembi mengawal bilik enjin di bahagian tengah manakala Jordan Mintah kini dibantu Pedro dan Wanja bagi menggerakkan serangan.
Atede mengawal bilik enjin di bahagian tengah. — Facebook/KuchingCity
Pedro diingati kerana larian pantasnya dalam perjalanan menyudahkan gol untuk Timor Leste mendahului 2-1 sebelum tunduk 2-3 kepada Harimau Malaya dalam perlawanan peringkat kumpulan Kejohanan AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 11 Disember tahun lalu dan pernah mewakili UiTM United pada musim 2021-2022.
Penyertaan baru yang lain termasuk bekas penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli, bek kiri Arif Fadzilah Abu Bakar dari Terengganu FC, pertahanan kebangsaan Filipina, Scott Woods dari Boeung Ket (Kemboja), pemain sayap Danial Asri dari Selangor FC, dan penyerang Gabriel Nistelrooy secara pinjaman dari JDT II.
Menyasarkan kesudahan dalam kelompok lima teratas sekali lagi pada musim 2025/2026, Pengerusi KCFC, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, sebelum ini dilaporkan bahawa perancangan rapi, berbelanja ikut kemampuan tanpa terpengaruh dengan langkah pasukan ‘kayangan’ dan memaksimumkan keupayaan setiap pemain, adalah kunci kepada peningkatan pasukan.
"Sasaran kami pada musim 2025/2026 ialah untuk berkesudahan dalam kelompok lima teratas. Tapi ia turut jadi impian kami untuk menang satu piala sama ada Piala Malaysia atau Piala FA,” katanya.
Pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak. — Facebook/KuchingCity
Teratas dalam senarai keutamaan kelab itu ialah mengekalkan kestabilan dalam pasukan, menutup sebarang kelompangan dalam barisan pemain berdasarkan pengajaran musim lalu serta meningkatkan kedalaman skuad yang diperlukan untuk mengharungi satu musim yang panjang.
"Kita tidak boleh rombak banyak sangat untuk musim depan kerana ia boleh menjejaskan rentak pasukan. Mungkin kita ubah tiga atau empat pemain berpandukan kepada kelemahan yang kita lihat dan bina pasukan terbaik menuju ke arah pencapaian lebih baik pada musim 2025-2026," kata Aidil Sharin selepas aksi musim lalu selesai.
Selepas kesudahan dalam kelompok top 4 musim lalu, harus tidak ramai yang ragu-ragu The Cats – dengan sentuhan magis Aidil Sharin yang sebelum ini dilaporkan turut dipertimbangkan untuk tugas ketua jurulatih skuad kebangsaan Singapura -- mampu mengulanginya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram