'Game nak habis pun masih menyerang', adrenalin skuad Jang boleh bikin Gergasi Merah 'goyang'


  • Podium
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Skuad Jang menampilkan aksi menarik ketika menggagalkan usaha The Cops membawa bekalan selesa ke Stadium Selayang bagi perlawanan timbal balik. — Facebook/NSFC

NEGERI Sembilan FC berpesta gol di hadapan 4,560 penyokong setia apabila membelasah PDRM FC 5-0 dalam aksi pertama Pusingan 16 Piala FA 2025/26 yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Isnin.

Skuad kendalian Nidzam Jamil tampil garang sebaik wisel permulaan ditiup, dengan pemain import, Jovan Motika membuka tirai jaringan seawal minit kedua sebelum menambah gol kedua pada minit ke-40 untuk meletakkan tuan rumah selesa mendahului.

Tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama, penyerang berbisa, Joseph Esso menambah derita pasukan pelawat dengan jaringan ketiga sekali gus menyaksikan skuad Jang melangkah ke bilik persalinan dengan kelebihan 3-0.

BACA LAGI: Bekas import Selangor makin berkarat, guris hati fans Cik Siti Wan Kembang

BACA LAGI: Bezanya Pak Ngah-Kipre, waima bersama kelab sekarang mahupun terdahulu

Skuad Jang melakar sejarah apabila membenam The Cops dengan keputusan 5-0. Facebook/NSFC

Bersambung babak kedua, tempo permainan tuan rumah kekal agresif apabila pemain gantian Mio Tsuneyasu menyumbat gol keempat pada minit ke-76.

Hanya tiga minit kemudian, Esso sekali lagi mencetak nama selaku penjaring untuk melengkapkan kemenangan bergaya 5-0 buat skuad Hobin Jang Hobin.

Sebaliknya, PDRM yang dikendalikan Eddy Gapil dilihat tenggelam dalam perlawanan meskipun menurunkan kapten berpengalaman, Kyaw Min Oo dan gagal memberikan saingan berkesan kepada pasukan tuan rumah.

Kemenangan besar itu memberi kelebihan selesa buat Negeri Sembilan menjelang aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 14 September depan, sekali gus meletakkan mereka sebelah kaki ke suku akhir.

Penyerang Negeri Sembilan FC, Jovan Motika meraikan jaringannya ketika menentang pasukan PDRM FC. Facebook/NSFC

Lebih manis, keputusan itu turut menjadi tonik terbaik menjelang aksi tumpuan menentang Selangor FC dalam saingan Liga Super yang dijadual berlangsung pada Ahad (24 Ogos) di laman sendiri.

Malah, ramai penyokong menyifatkan persembahan bertenaga yang dipamerkan sebagai amaran awal kepada skuad Gergasi Merah, terutamanya melihat kepada intensiti serangan berterusan Negeri Sembilan meskipun perlawanan menghampiri minit-minit akhir.

“Sudah nak habis game pun masih menyerang, padahal sudah leading banyak, mentaliti dan stamina padu,” kata Tohaito Eli.

“4,560 penyokong hadir malam ini. Minggu depan lawan Selangor, jom penuhkan stadium, target 10,000!” kata Fazira Idrus pula.

“Terbaik! Kemenangan besar ini macam satu isyarat kepada Selangor FC. Jangan pandang rendah pasukan kami,” tambah Mat Radhi.

Nidzam Jamil, yang juga bekas jurulatih Selangor, pasti memiliki kelebihan taktikal menjelang pertemuan dengan bekas pasukannya itu.

Untuk rekod, beliau sebelum ini pernah menggalas tugas sebagai pengendali Gergasi Merah selepas Tan Cheng Hoe mengundurkan diri sebelum bermulanya musim Liga Malaysia 2024/25. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram