Sejarah tundukkan 'skuad adik' boleh jadi modal Kuching City kejutkan JDT


  • Podium
  • Sabtu, 23 Ogos 2025

Rekod tanpa kalah Kuching City setakat ini menjadi senjata utama The Cats yang bertekad mencipta kejutan. — Facebook Kuching City FC

 

 

SAINGAN Liga Super minggu ini bukan sekadar menampilkan pertembungan hangat antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman dekat Paroi, Negeri Sembilan.

Sebaliknya, tumpuan turut terarah ke Borneo apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal diuji Kuching City FC di tempat lawan di Stadium Negeri Sarawak pada Ahad.

Rekod tanpa kalah Kuching City setakat ini menjadi senjata utama The Cats yang bertekad mencipta kejutan menundukkan pendahulu liga itu.

BACA LAGI: Bukan mudah serasi DNA Harimau Selatan, bintang Afrika dan Argentina sudah cukup jadi bukti

BACA LAGI: Tunggu masa debut, 3 ciri Tommy Mawat mungkin muncul 'duri dalam daging' di bumi Kenyalang

Meskipun tewas di pentas Piala FA baru-baru ini, semangat juang tinggi dan sorakan penyokong di gelanggang sendiri dijangka menjadi pembakar semangat tambahan.

Walaupun Kuching City belum pernah menumbangkan skuad utama Harimau Selatan di pentas Liga Super, sejarah tidak pernah menipu.

Skuad The Cats itu pernah membuktikan mereka mampu menewaskan pasukan muda JDT II ketika beraksi di Liga Premier.

Tanggal 25 Ogos 2021 itu masih menjadi memori segar dalam ingatan penyokong Sarawak.

Manakan tidak, The Cats merupakan pasukan under dog yang mampu mengalahkan menumpaskan JDT II dengan keputusan 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor pada ketika itu.

Kuching City FC melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menjadikan JJDT II mangsa apabila menang 2-1 aksi Liga Premier pada 25 Ogos 2021.

Menariknya, dalam perlawanan itu, JDT II terlebih dahulu berada di depan menerusi Fernando Rodriguez sebelum Kuching City FC bangkit hasil gol Irwan Syazmin Wahab dan Amir Amri Salleh.

Kemenangan itu bukan sekadar tiga mata, malah menjadi bukti bahawa The Cats tidak pernah gentar biarpun berdepan lawan yang lebih gah di atas kertas.

Seperti yang pernah diungkapkan Pengurus Pasukan ketika itu, Ideris Untong, “Kerja keras serta semangat juang tinggi sepanjang saingan menjadi penyumbang kepada kemenangan bermakna ini.”

Kini, selepas hampir empat tahun, Kuching City kembali menghadap cabaran lebih besar.

Jika imbauan lalu dijadikan inspirasi, tidak mustahil skuad ini mampu mencipta satu lagi sejarah, kali ini menundukkan Harimau Selatan yang sedang gah di puncak liga.

Soalnya, adakah memori manis 2021 itu bakal berulang di bumi Borneo, atau JDT sekali lagi membuktikan status mereka sebagai penguasa mutlak bola sepak tempatan?

Untuk rekod, Kuching City FC pada ketika ini berada di tangga keempat carta Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram