Belasah kelab Liga A1 bukan alasan Sabah FC pandang rendah Kelantan TRW


  • Podium
  • Sabtu, 23 Ogos 2025

Kemenangan besar ke atas Bunga Raya jadi tonik tambahan buat Sabah FC terus mengganas. — Facebook/Sabahfc

MENJELANG pertemuan menentang Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) dalam aksi Liga Super 2025/26 pada Sabtu, Sabah FC kini tampil dengan keyakinan tinggi selepas meraih kemenangan besar dalam saingan Piala FA 2025 baru-baru ini.

Skuad kendalian Jean-Paul de Marigny itu mempamerkan prestasi cemerlang apabila menewaskan Bunga Raya 6-0 pada pusingan 16 Piala FA yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Ahad lepas.

Kemenangan bergaya itu sekali gus menyaksikan Sang Badak selangkah ke psuingan kalah mati.

BACA LAGI: Ubai tahu kualiti lawan, sedia rantai bintang Portugal-Indonesia

BACA LAGI: Gaji tak dibayar kelab Lembah Klang, bekas kapten Kedah antara pemain buat laporan polis

Senjata rahsia Sabah, Darren Lok antara pemain yang wajib dikawal rapi oleh benteng pertahanan Kelantan TRW. — Facebook/Sabahfc

Penyerang prolifik, Darren Lok muncul wira Sabah dengan mencatat hatrik, manakala tiga lagi gol disumbangkan oleh Fergus Tierney, Jafri Firdaus Chew dan Ajdin Mujagic.

Bagaimanapun, sebelum kemenangan besar itu, Sabah FC berdepan sedikit kesukaran dalam aksi Liga Super apabila sekadar seri 1-1 menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu minggu lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Sang Badak hampir pulang tanpa sebarang mata selepas gol sendiri oleh Dean Pelekanos meletakkan pasukan tuan rumah di depan, sebelum Gabriel Peres menyelamatkan keadaan dengan jaringan penyamaan pada minit-minit akhir permainan.

Kini, kemenangan bergaya ke atas Bunga Raya jelas menjadi tonik penting buat Sabah untuk mengekalkan momentum apabila mereka bakal melayan kunjungan Kelantan TRW dalam aksi kedua Liga Super musim ini.

Kelantan TRW kini mempunyai tonik terbaik untuk menundukkan Sabah FC selepas kejayaan menewaskan KL City FC. — Facebook/therealwarriorsfc

Perlawanan tersebut dijadualkan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu yang menyaksikn The Rhinos memiliki kelebihan untuk mendapatkan tiga mata penuh.

Namun begitu, walaupun Sabah FC kini dilihat berada di landasan terbaik, mereka tidak boleh memandang rendah kemampuan Kelantan TRW.

Pasukan kendalian E. Elavarasan itu menunjukkan peningkatan prestasi ketara apabila mencatat keputusan seri 1-1 menentang Imigresen FC dalam aksi liga pada 12 Ogos lalu.

Lebih mengagumkan, Kelantan TRW mengejutkan peminat bola sepak tanah air selepas menundukkan Kuala Lumpur City FC 3-1 dalam aksi pusingan 16 Piala FA pada 18 Ogos, sekali gus selangkah ke peringkat kalah mati.

Selepas dua jaringan menentang KL City, Ifedayo (tengah) kini dijangka bersedia menggempur gawang Sabah. — Facebook/therealwarriorsfc

Musim ini, Kelantan TRW yang mahu memperbaiki prestasi hambar musim lalu kini dibarisi pemain berkualiti seperti penyerang sensasi Ifedayo Olusegun, Habib Haroon, T. Saravanan, Sean Selvaraj dan Azwan Aripin.

Sabah FC juga tidak kurang hebatnya apabila dibarisi pemain berpengalaman seperti Darren Lok, Dominic Tan, Stuart Wilkin, Fergus Tierney dan Gabriel Peres.

Perlawanan di Stadium Likas itu dijangka berlangsung sengit dan penuh kompetitif, serta menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air yang menantikan aksi menarik antara dua pasukan yang kini dalam prestasi meyakinkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram