Htet Aung sertai NSFC buka pintu luas untuk Lee Tuck ke Selangor


  • Podium
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Htet Aung bergelut untuk mendapatkan minit permainan bersama skuad Gergasi Merah musim ini. — Facebook/Selangor FC

SETELAH dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan Selangor FC, pemain sayap kebangsaan Myanmar, Hein Htet Aung mengesahkan bahawa dia akan menyertai Negeri Sembilan FC.

Keputusan tersebut dilihat cukup bijak untuk kesemua pihak memandangkan skuad Jang tidak memiliki pilihan yang berkualiti bagi diturunkan dalam posisi berkenaan.

Selain itu, pemergian Levy Madinda juga akan membantutkan lagi usaha jentera serangan untuk mendapatkan gol yang mana akan menyaksikan mereka terus bergelut di kedudukan bawahan Liga Super.

Bagi Htet Aung pula, percaturan Tan Cheng Hoe yang gemar meletakkan Mukhairi Ajmal atau Ayron del Valle di posisi sayap kanan menyaksikannya kurang mendapatkan minit permainan.

Dalam Liga Super musim ini, pemain berusia 21 tahun itu hanya mencipta 12 penampilan tanpa sebarang gol peribadi dicatatkannya untuk memacu kedudukan skuad Gergasi Merah.

364792109_707480221392697_7251838316187921524_n

Htet Aung sah menjadi milik skuad Jang untuk baki musim 2023. Facebook/Negeri Sembilan FC

Namun, persoalan mula bangkit mengenai pengganti buat Htet Aung untuk baki musim 2023 dengan Selangor FC ketika ini dalam misi besar mereka bagi melayakkan diri ke pentas Asia.

Kehilangan pemain kebangsaan Myanmar itu dilihat akan mengurangkan lagi pilihan buat Cheng Hoe dengan penyerang sayap mereka, Faisal Halim hanya akan kembali beraksi pada penghujung Ogos.

Bagi penyokong Selangor FC, calon terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan ialah pemain naturalisasi negara, Lee Tuck yang baru sahaja mengumumkan pemergiannya dari Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Kemasukannya dijangka memberi sentuhan berbeza buat jentera serangan kelab Lembah Klang berkenaan dengan pemain terbabit mempunyai pengalaman dalam Liga Super.

Selain itu, statistiknya musim ini juga tidak mengecewakan apabila dia mencatatkan lima jaringan serta tujuh bantuan gol dalam 15 penampilan.

363307443_320089260372258_7427063362012447830_n

Lee Tuck kini berstatus ejen bebas selepas meninggalkan skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Khabar angin berkenaan diperkuatkan lagi dengan hantaran beberapa laman media sosial bola sepak negara mula mengaitkan perpindahan Lee Tuck ke skuad Gergasi Merah.

"Pemain tengah negara, Lee Tuck dikatakan sedang menghampiri perpindahan ke Selangor FC. Sebagai seorang yang berstatus ejen bebas, adakah dia akan memilih untuk menyertai Selangor FC sebelum kempen Piala Asia?" tulis Ufootball.

"Lee Tuck dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Gergasi Merah, Selangor FC," kata Hot_Ice.

Pemain terbabit mula menjadi buruan beberapa pasukan tempatan tidak lama selepas mengesahkan pemergiannya dari KDA FC walaupun usianya sudah mencecah 35 tahun.

Selain mempunyai kebolehan dalam memburu jaringan, Lee Tuck turut berkemampuan untuk diturunkan di mana-mana posisi menyerang, termasuk sekiranya diarahkan untuk menjadi pemain sayap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram