
PEMBANGUNAN bola sepak seawal peringkat sekolah dirancakkan dengan penganjuran Kejohanan Bola Sepak Bawah 12 Tahun (B-12) F&N Magnolia yang diadakan dengan kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) Kementerian Pendidikan (KPM).
Kejohanan sembilan sebelah itu akan diadakan secara berpusat di SMK USJ 23, Subang Jaya, Selangor selama empat hari bermula 13 Oktober akan disertai 16 pasukan dari sekolah sekitar Lembah Klang.
Dalam majlis pelancaran yang berlangsung di Stadium Masional Bukit Jalil, Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri Fraser & Neave Holdings Bhd, Norazrin Norsyam Yee berkata, kejayaan Liga KPM mendorong penganjuran pertandingan tersebut.
BACA LAGI: 'Pemain barai, reset pasukan' bantut bakat ubi muda
BACA LAGI: 'Sindrom paranoid penyokong terhadap JDT bantut bola sepak negara'
Norazrin (kiri) menjelaskan objektif di sebalik penganjuran Kejohanan Bola Sepak B-12 F&N Magnolia.
"Ia mendorong kami untuk meluaskan lagi penglibatan dalam pembangunan bola sepak remaja ke peringkat B-12 pula. Kami sedar lebih banyak kejohanan berkualiti diperlukan. Justeru, dengan kerjasama BSKK, kami menganjurkan kejohanan baharu ini.
"F&N Mognolia, Susu Segar 100 peratus adalan rakan paling sesuai bagi kejohanan baru ini. Kami percaya susu segar ini merupakan pilihan terbaik untuk kanak-kanak untuk pertumbuhan serta kesihatan menyeluruh," katanya.
Berdasarkan senarai dikeluarkan, Selangor sebagai tuan rumah akan diwakili 10 pasukan, termasuk SK Damansara Damai (2) manakala Kuala Lumpur dengan empat pasukan dan Putrajaya dengan dua pasukan.
Semua pasukan yang bertanding merupakan juara Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) masing-masing, kecuali Putrajaya yang diwakili johan dan naib johan MSS Putrajaya.
Jelas Norazrin lagi, pertandingan terebut turut mempunyai objektif tersendiri untuk membendung isu murid terbantut kerana tidak memperolehi nutrisi lengkap dalam diet seharian.
"Dari segi tumbesaran kanak-kanak, susu adalah salah satu pemakanan cukup penting untuk menyokong pembesaran kanak-kanak dalam negara. Dapatan dari KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati terlalu tinggi peratusan kebantutan.
"Jadi, ini adalah salah satu usaha untuk membantu kanak-kanak di Malaysia, terutamanya di peringkat sekolah rendah," katanya.
Berdasarkan format pertandingan, 16 pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan dengan hanya juara dan naib juara akan melangkah diri ke peringkat kalah mati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram