'Perang saudara' tercetus di Kedah tanpa sedar, wajarkah Lang Merah jauhi identiti Sang Kenari?


  • Podium
  • Selasa, 05 Ogos 2025

Sang Kenari (kiri) dan Lang Merah (kanan) dilihat ada perebutan identiti kelab.

MUSIM baharu di Liga Malaysia sudah bermula dan tanpa siapa menyangka, Kedah akan 'terbelah' dua kerana terdapatnya dua pasukan.

Kedua-dua pasukan dari negeri itu, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kedah FA bersaingan sesama sendiri dalam Liga A1.

Satu dimiliki oleh tokoh korporat manakalah sebelah pihak adalah jelmaan semula yang dihidupkan oleh persatuan bola sepak negeri.

BACA LAGI: Apalah guna ada padang diiktiraf FIFA tapi Sri Pahang tidak 'bernyawa' — Penyokong

BACA LAGI: Liga A1 jadi tempat berkumpul jurulatih gred Liga Super

Mana satu jadi pilihan?

Dengan adanya dua pasukan yang serupa, ia menjadi persoalan buat warga Kedah, siapa yang mereka nak sokong?

Ada yang berasakan, sokongan harus diberikan kepada kedua-duanya kerana KDA dan Kedah membawa nama negeri.

Namun tidak semua berpendapat sedemikian, ada yang berasakan perlunya untuk memilih satu pihak untuk disokong.

Lang Merah wujud semula dalam sistem bola sepak Malaysia.

Oleh itu, tidak terkejut jika majoritinya memilih untuk terus setia bersama KDA atau Sang Kenari kerana pada mereka itulah yang asli.

Sementara Kedah FA atau Lang Merah dianggap sebagai jelmaan tak sepatutnya wujud kerana itu bukannya tugas persatuan bola sepak negeri menghantar pasukan bertanding.

Perang saudara dalam diam

Sudah menjadi kelaziman dalam bola sepak tempatan, apabila ada dua pasukan dari negeri serupa mereka akan dianggap sebagai "adik-beradik" berbanding seteru setempat.

Dalam kes melibatkan dua pasukan negeri Kedah itu tidak terkecuali, disebabkan pemikiran tersebut terdapat penyokong yang tidak kisah untuk mendukung Sang Kenari dan Lang Merah serentak.

Akan tetapi, semangat "adik-beradik" itu dalam diam mula direntap apabila Lang Merah mula membayangi identiti yang mutlak dimiliki Sang Kenari.

Pastinya, berlaku pertindihan dalam memiliki identiti, siapakah yang lebih tulen? Siapakah yang lebih real antara satu sama lain?

Namun begitu, lagu semangat KDA, Biar Jasa Jadi Kenangan yang ditulis oleh Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil kini sudah menjadi milik Sang Kenari.

Itu hak mutlak Sang Kenari, dan Lang Merah tidak boleh menggunakannya atau menganggap itu sebagai identiti kelab.

Benar Sang Kenari berakar umbi daripada Persatuan Bola Sepak Kedah, namun ia sudah bergerak menjadi entiti sendiri.

Ia tidak menjadikan Lang Merah berhak untuk menggunakan lagu Biar Jasa Jadi Kenangan kerana itu adalah identiti mutlak Sang Kenari.

Jika kecelaruan identiti terus berlaku dalam bola sepak Kedah, tidak mustahil suasana panas akan timbul semasa Sang Kenari dan Lang Merah bertemu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram