'Sindrom paranoid penyokong terhadap JDT bantut bola sepak negara'


  • Podium
  • Isnin, 03 Jan 2022

BEBERAPA tonggak JDT seperti Farizal Marlias dan Corbin-Ong tidak menyertai Harimau Malaya pada kejohanan Piala AFF Suzuki baru-baru ini. — S. S. KANESAN/The Star

PENYOKONG bola sepak tempatan didakwa mempunyai sikap paranoid terhadap juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim apabila melibatkan pasukan Harimau Malaya.

Dalam satu hantaran Facebook, Masharakat BOLA berkata, penyokong sering mempertikaikan pemilihan pemain-pemain dari kelab itu untuk mewakili Harimau Malaya.

"Apabila kesebelasan pemain yang dipilih untuk mewakili pasukan kebangsaan melibatkan dominasi pemain JDT, satu Malaysia akan mempertikaikan pemilihan tersebut.

"Bukan sahaja penyokong, individu-individu yang entah apa sumbangan seperti Khalid Ali akan mempertikaikan malah lebih teruk memperlekehkan pemain-pemain tersebut.

"Paling lucu, apabila sesuatu keputusan yang diterima tidak selari dengan kehendak mereka, menyalahkan pemain JDT yang dipilih membarisi skuad kebangsaan adalah perkara pertama akan keluar," katanya pada Isnin ketika mengulas mengenai perletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Screenshot 2022-01-03 at 3.54.12 PM

Ulasan yang diberikan Masharakat BOLA di Facebooknya.

Jelasnya, kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 kali ini membuktikan bahawa skuad negara tempang tanpa pemain-pemain Harimau Selatan.

"Ketiadaan pemain-pemain utama JDT seperti Farizal Marlias dan La’vere Corbin Ong memperlihatkan Harimau Malaya hanya sekadar Harimau yang turun tanpa gigi. Langsung tidak merbahaya.

Beliau mempersoalkan sumbangan pemain kegemaran dan harapan peminat Harimau Malaya, Shahrel Fikri dan Luqman Hakim pada kejohanan di Singapura itu.

"Yang diharapkan masih juga kelompok minoriti pemain-pemain JDT seperti Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid.

"Kita imbas semula, ketika majoriti skuad kebangsaan dibarisi pemain JDT, Malaysia telah menerima kekalahan 4-0 kepada UAE, satu Malaysia mengamuk menyalahkan JDT.

"Tetapi rupanya-rupanya bila tiada pemain-pemain JDT, bertemu Vietnam dan Indonesia pun Malaysia dibelasah.

Dia memberi contoh pasukan Singapura yang membariskan 15 pemain dari Lion City Sailors Football Club, sebuah kelab berjaya dan berpotensi di Singapura, yang merupakan kelab dominan di liga negara itu.

"Lihat dimana mereka pada kejohanan AFF kali ini? Jauh panggang dari api permainan yang ditunjukkan oleh pasukan Malaysia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram