
PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski tampak semakin mendalami dunia bola sepak tempatan apabila mengambil langkah menghantar anak lelakinya menyertai skuad belia kelab Lembah Klang, FC Kepong bawah 9 tahun (B-9).
Menurut satu hantaran oleh pengguna X iaitu Shariman, sebahagian pemain kelab berkenaan berpeluang bertemu secara langsung dengan jurulatih Harimau Malaya itu dalam suasana penuh mesra.
"Para pemain muda dan Shayra berpeluang bertemu dengan ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Peter Cklamovski. Anak lelaki Cklamovski telah menyertai pasukan FC Kepong bawah 9 tahun (B-9)," katanya pada hantaran berkenaan.
BACA LAGI: Ada yang lebih penting berbanding Piala Negara CAFA — Peter Cklamovski
BACA LAGI: Usah negatif dengan JDT, kehadiran 'abang botak' ke Iskandar Puteri mudahkan urusan Peter Cklamovski
Langkah berkenaan dilihat sebagai satu usaha serius daripada Cklamovski untuk mengeratkan lagi hubungan dan pemahaman terhadap perkembangan bola sepak akar umbi di Malaysia, selain memberi pendedahan awal kepada anaknya dalam sukan yang diminati.
Dengan penyertaan anaknya dalam skuad belia tempatan, Cklamovski sekali lagi menegaskan komitmennya terhadap pembangunan bola sepak di Malaysia, bukan sahaja sebagai jurulatih tetapi juga sebagai seorang bapa yang mahu menanam minat dan pengalaman sukan sejak kecil.
Untuk info, FC Kepong bukan kelab sembarangan berikutan baru-baru ini melakar sejarah di pentas bola sepak remaja antarabangsa apabila FC Kepong bawah 8 tahun (U8) muncul juara Kejohanan IberCup 2025 yang berlangsung di Estoril, Portugal, pada Julai lepas.
The boys and Shayra had the chance to meet Malaysia NT coach, Peter Cklamovski.
His son joined FC Kepong U9. pic.twitter.com/tsjrXqHgAW
— Shariman (@5hariman) August 5, 2025
Pasukan cilik kendalian jurulatih Shazwan Wong itu menampilkan aksi bertenaga sepanjang kejohanan, mencatat empat kemenangan dan dua kekalahan dalam saingan Kumpulan A untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.
Di peringkat itu, mereka menewaskan wakil Sepanyol, Uliamate Madrid, dengan keputusan 5-3, sebelum meneruskan kecemerlangan di pentas akhir menentang satu lagi pasukan dari negara sama, Aravaca SS.
Untuk rekod, IberCup merupakan antara kejohanan bola sepak remaja paling besar dan berprestij di dunia yang menghimpunkan kelab-kelab akademi ternama dari seluruh dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram