
PERSATUAN Golf Malaysia (MGA) terus mengorak langkah memperkasa sukan golf di peringkat akar umbi apabila berjaya menganjurkan program Golf in School di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa, Kuala Lumpur pada Rabu.
Program yang menjadi sebahagian daripada inisiatif Program Golf Komuniti itu menyaksikan seramai 100 murid Tahun 4, 5 dan 6 mengambil bahagian, dengan objektif memperkenalkan golf sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah.
Bagaimanapun, murid Tahun 6 hanya diwakili sebahagian pelajar kerana sebahagian lagi terikat dengan peperiksaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Namo sentiasa ingat pesan ibu jaga paras rupa lepas seharian berjemur di padang golf
Majlis pelancaran disempurnakan Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor, dengan kehadiran guru-guru, murid serta para tetamu yang memberikan sokongan padu terhadap usaha memperluaskan pengenalan golf di sekolah.
Empat tenaga pengajar berpengalaman turut mengendalikan sesi asas golf interaktif untuk para murid, termasuk pemain pasukan kebangsaan Nur Batrisyia Ghani, jurulatih komuniti Muhammad Alir Fisthoaniq Eusof dan Cikgu Adib, selain tutor kebangsaan Program Jurulatih Golf Komuniti (CGI), Shairul Erwin.
Presiden MGA, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.
Dalam ucapannya, Tan Sri Mohd Anwar menegaskan bahawa Golf in School merupakan sebahagian visi jangka panjang MGA untuk menjadikan golf lebih mudah diakses oleh masyarakat Malaysia, bermula dari peringkat akar umbi.
"Dengan memperkenalkan golf sebagai aktiviti kokurikulum, kita bukan sahaja mengajar cara bermain golf tetapi juga menanam nilai disiplin, fokus dan semangat kesukanan.
"Harapan kami, program ini mampu mencetuskan inspirasi kepada lebih ramai bakat muda untuk menceburi dan berkembang bersama sukan golf," katanya memetik kenyataan MGA pada Rabu.
Program Golf in School di SK Taman Desa pada Rabu.
Selain sesi permainan asas, program berkenaan turut merangkumi taklimat pengenalan, aktiviti luar bersama murid, serta penyampaian cenderamata.
Inisiatif Golf in School di SK Taman Desa itu menjadi langkah pertama ke arah peluasan program ke sekolah-sekolah seluruh negara, sejajar dengan slogan MGA iaitu 'Everyone Can Golf'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram