Muncul penjaring gol sedekad lepas, bekas import Sang Penyu imbau semula kebangkitan benam Brunei


  • Podium
  • Jumaat, 22 Ogos 2025

Skuad Sang Penyu akan bertandang ke Brunei untuk perlawanan penting menentang DPMM FC. — Facebook/Terengganu FC

SKUAD Sang Penyu mahu kebangkitan susulan mengalami momentum yang semakin kendur berikutan keputusan seri 2-2 di tangan PDRM FC sebelum tewas kepada Imigresen FC dalam aksi Piala FA.

Dua keputusan itu sememangnya mengganggu rentak cuba direncanakan pengendali, Badrul Afzan Razali yang terus diberi tekanan oleh penyokong yang mahu perubahan dilakukan.

Bagaimanapun, pengendali kelahiran Terengganu tersebut berpeluang menyuntik semula keyakinan dalam anak-anak buahnya apabila mereka akan berkunjung ke Stadium Hassanal Bolkiah, Brunei untuk berdepan DPMM FC pada Jumaat.

BACA LAGI: Diego Landis tak perlu bimbang, teladani 3 import Brazil jika mahu pikat hati fans Terengganu

BACA LAGI: Dianggap bek paling sukar ditembusi, legenda Terengganu respons kenyataan Safee Sali

Skuad Sang Penyu dikecewakan Imigresen FC dalam pertembungan Piala FA. — Facebook/Terengganu FC

Pasukan kendalian Jamie McAllister itu juga belum menemui rentak terbaik dalam Liga Super selepas belum meraih sebarang kemenangan dalam dua aksi di Lembah Klang.

Meskipun berjaya menundukkan Kuching City FC dalam aksi Piala FA, persembahan ditampilkan kelab jemputan terbabit belum cukup meyakinkan untuk memberi cabaran kepada Terengganu FC.

Malah, melihat kepada pertembungan terdahulu, pasukan Pantai Timur itu kerap mengecewakan DPMM FC, termasuk dalam pertembungan yang berlangsung dalam saingan Liga Perdana 2005/06.

Dalam aksi yang berakhir dengan kemenangan 4-2 buat skuad Sang Penyu tersebut, mereka menunjukkan kesungguhan apabila bangkit dari ketinggalan pada babak pertama untuk membawa pulang tiga mata penuh.

Fabio Flor menyampaikan ucapan maju jaya berserta keratan akhbar daripada pertembungan kedua-dua pasukan lebih 10 tahun lalu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu itu menyaksikan lambakan bintang dalam senarai penjaring, termasuk bek tengah, Fabio Flor.

Gol pemain dari Brazil tersebut dihasilkan pada minit ke-76 selepas dia menanduk masuk tendangan sudut Sapian Abd Wahid untuk meletakkan pasukannya di hadapan selepas bergelut terlebih dahulu.

Keputusan berkenaan sememangnya terus mekar di ingatan pemain berkenaan yang baru-baru ini sempat mendoakan kejayaan Terengganu FC yang memerlukan tiga mata penuh.

"Esok (Jumaat) perlawanan berdepan Brunei, semoga berjaya pasukan Terengganu FC. Semoga maju jaya pasukan kita," katanya menerusi hantaran di laman InstaStory peribadinya.

Sekiranya meraih kemenangan di tempat lawan, skuad Sang Penyu akan memintas Johor Darul Ta'zim (JDT) ke kedudukan teratas Liga Super dengan posisi itu akan kekal jika skuad Harimau Selatan tumpas kepada Kuching City FC di tempat lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram