Lakar keputusan teruk berdepan kelab Utara, Badrul juga pernah senasib Nafuzi


  • Podium
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Sang Penyu perlu bekerja keras dalam aksi timbal balik saingan Piala FA selepas tewas tipis 1-2 di tangan Imigresen FC. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC perlu menggandakan usaha dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA 2025/2026 selepas tewas tipis 1-2 kepada pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang pada Ahad.

Anak-anak buah Badrul Afzan Razali gagal membawa pulang bekalan selesa ke Terengganu, meskipun tampil dengan persembahan bertenaga pada awal separuh masa kedua.

Skuad Peteh terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain import, Yan Mabella, pada minit ke-50, namun kelebihan itu hanya bertahan lima minit apabila Rafael Iserhard Holstein menyamakan kedudukan buat tuan rumah.

BACA LAGI: Bezanya Pak Ngah-Kipre, waima bersama kelab sekarang mahupun terdahulu

BACA LAGI: Pelantikan CEO TFC: Pengaruh saja tak cukup, cabang bola sepak berbeza — Pemerhati

Sang Penyu kini dibimbing oleh Badrul Afzan Razali. Facebook/TFC

Ketika perlawanan hampir berakhir, Joao Pedro muncul sebagai wira Imigresen FC apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.

Jaringan tersebut memadam impian Terengganu untuk membawa pulang sekurang-kurangnya keputusan seri.

Gol itu juga memberikan kelebihan satu jaringan buat pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu menjelang aksi timbal balik pada 13 September di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu.

Kekalahan tersebut nyata mencetus kekecewaan dalam kalangan penyokong Sang Penyu yang menyifatkan skuad kesayangan mereka sepatutnya mampu mencatat keputusan lebih baik memandangkan kelebihan kualiti pemain yang dimiliki.

Tambahan pula, kekalahan kepada pasukan yang berstatus ‘underdog’ itu turut mencetus perbandingan dengan zaman bekas pengendali Terengganu, Nafuzi Zain yang pernah berdepan tekanan penyokong susulan keputusan kurang memberangsangkan.

Pengendali skuad B-23 Tahun kebangsaan, Nafuzi Zain. Facebook/Malaysia NT

Malah, insiden tewas di tangan pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air iaitu Imigresen FC itu turut mengingatkan semula penyokong kepada aksi Terengganu menentang Penang FC dalam saingan Liga Super musim 2021, yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Perlawanan tersebut merupakan antara detik yang mencetus laungan 'Nafuzi Out' dalam kalangan penyokong di media sosial ketika itu.

Ramai penyokong ketika itu beranggapan bahawa laungan 'Nafuzi Out' berpunca daripada keegoan pengendali kelahiran Kelantan itu yang berkeras membawa masuk David da Silva, menurut hantaran di Facebook.

Menurut mereka, Nafuzi memiliki pilihan pemain yang lebih baik untuk mengemudi jentera serangan, namun tetap memilih Da Silva yang akhirnya gagal menampilkan prestasi meyakinkan.

Oleh itu, kekalahan terbaru kepada Imigresen boleh dikatakan Terengganu nampaknya sukar meraih kemenangan ke atas pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air selepas pernah bergelut untuk mencipta kejayaan ketika bertemu skuad Harimau Kumbang pada 12 September bagi musim 2021.

Untuk rekod, Nafuzi Zain pernah membawa Terengganu ke pentas akhir Piala FA 2022 dan menamatkan liga di tangga kedua sebelum meninggalkan pasukan untuk mengendalikan Kedah Darul Aman FC bagi musim 2023.

Kini, Nafuzi menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih skuad Bawah-23 kebangsaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram