Semifinalis Piala FA: Akmal Rizal tak rasa ada kejutan awal


  • Podium
  • Selasa, 29 Jul 2025

Kuching City dijangka boleh pergi jauh dalam Piala FA.

UNDIAN bagi pusingan 16 pasukan untuk Piala FA dijalankan pada Isnin dengan kesemua kelab bertanding sudah mengetahui siapakah lawan mereka.

Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) memperoleh laluan mudah apabila berdepan wakil Liga A1, UM-Damansara United manakala Selangor FC bertemu Malaysian University.

Berdasarkan hasil undian, bekas pemain kebangsaan iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli berpendapat tiada sebarang kejutan bakal berlaku.

BACA LAGI: Kelab Pantai Timur masuk senarai pasukan Liga M guna GK import

BACA LAGI: Isu identiti KRW-Kelantan: Tak salah bernostalgia cuma lebih elok bina legasi baharu

Di atas kertas, majoriti pasukan diundi bertemu lawan yang seimbang jadi peluang untuk kejutan itu berlaku adalah rendah.

"Undian yang dilakukan memberi lapan pasukan utama peluang untuk layak ke suku akhir dan bagi saya tidak ada apa-apa kejutan berlaku di peringkat awal," kata Akmal kepada Majoriti.

Walaupun dijangka tiada sebarang kejutan, Akmal tetap menganggap pusingan 16 pasukan mempunyai perlawanan tumpuan atau tie of the round yang tersendiri.

Baginya, perlawanan antara Kuching City FC dengan wakil Brunei, DPMM FC pastinya menarik perhatian ditambah Akmal menjangkakan kelab Sarawak itu mampu layak ke separuh akhir.

"Pertembungan antara DPMM dengan Kuching menjadi pilihan kerana Kuching sudah menunjukkan peningkatan prestasi pada musim lepas dan melakukan persiapan cukup rapi musim ini.

"DPMM pula merupakan pasukan yang berpengalaman beraksi di Liga Singapura dan sudah pasti kembalinya mereka ke Liga Super mereka mahu melangkah jauh dalam Piala FA.

"Pada saya, Kuching City bersama satu lagi kelab iaitu Terengganu FC ada potensi untuk ke separuh akhir," jelas Akmal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram