
SAINGAN Piala FA sentiasa penuh kejutan, itulah keunikan format kalah mati yang sering membuka ruang kepada pasukan bukan pilihan mencipta detik luar biasa.
Di peringkat pusingan 16, sejarah telah membuktikan bahawa status ‘underdog’ bukan penghalang untuk menewaskan lawan yang lebih berpengalaman dan bertaraf tinggi.
Dalam banyak edisi, pasukan kerdil tampil mengejutkan, sekali gus memecah dominasi kelab gergasi tanah air.
Menariknya, buat pertama kali dalam sejarah pertandingan, aksi pusingan 16 Piala FA musim 2025/2026 akan dilangsungkan secara timbal balik, format yang turut diteruskan untuk peringkat suku akhir dan separuh akhir.
BACA LAGI: 'Import hanya pelengkap rasa, kudrat utama Kedah masih ubi muda'
Pasukan 'seeded' seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC, Kuching City FC, Sabah FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan Penang FC akan memulakan aksi pertama sebagai pelawat.
Sementara itu, lapan pasukan lain termasuk tiga kelab dari Liga A1 Semi Pro, Imigresen FC, Melaka FC dan DPMM FC serta dua pasukan tercorot Liga Super 2024/2025, iaitu Negeri Sembilan FC dan Kelantan The Real Warriors akan bermula sebagai tuan rumah dalam perlawanan timbal balik ini.
Melihat kepada sejarah dan format baharu ini, tidak mustahil untuk menyaksikan kejutan berulang.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pasukan bukan pilihan yang pernah mencipta sensasi dengan menyingkirkan nama-nama besar dalam saingan Piala FA, satu petanda bahawa keajaiban bola sepak mungkin berlaku lagi musim ini.
1) JDT II 1-0 Kedah (2015)
Pasukan simpanan Johor Darul Ta’zim, JDT II mencipta kejutan besar dalam saingan Piala FA 2015 apabila menyingkirkan Kedah di pusingan 16 menerusi kemenangan tipis 1-0 di Stadium Darul Aman, Kedah.
Dalam perlawanan yang berlangsung penuh debaran, JDT II tampil berani menentang pasukan utama Kedah yang memiliki reputasi lebih tinggi.
Gol kemenangan hadir pada minit ke-88 menerusi jaringan pemain tengah, Akram Mahinan, sekali gus memastikan kemaraan dramatik ke suku akhir ketika itu.
Perlawanan itu menjadi tumpuan kerana JDT II turun selaku pasukan ‘underdog’, namun berjaya menewaskan tuan rumah yang lebih digeruni dalam format kalah mati yang tidak memberi ruang untuk kesilapan.
Ia sekali lagi membuktikan bahawa dalam bola sepak, status bukan segalanya, semangat juang dan taktikal tepat mampu menewaskan kelebihan atas kertas.
Kehadiran kira-kira 9,448 penonton menyaksikan detik bersejarah itu di Alor Setar, dengan pengadil perlawanan, Samsudin Ibrahim, mengawal aksi yang penuh intensiti hingga wisel penamat.
2) Sime Darby 1-0 Pahang (2016)
Sime Darby FC mengejutkan ramai apabila menewaskan Pahang 1-0 dalam perlawanan pusingan 16 Piala FA 2016 di Stadium Darul Makmur, sekali gus menyingkirkan pasukan pilihan Liga Super itu dari kejohanan.
Kemenangan tipis itu amat bermakna kerana Pahang, sebagai salah satu gergasi Liga Super, dijangka mudah menundukkan pasukan ‘underdog’ seperti Sime Darby.
Kemenangan Sime Darby ke atas Pahang membuktikan bahawa status bukan penentu keputusan dalam bola sepak. — Agensi
Namun, Sime Darby menunjukkan keazaman tinggi dan strategi kemas sepanjang 90 minit perlawanan untuk mematahkan dominasi tuan rumah.
Keputusan itu sekali lagi membuktikan bahawa dalam format kalah mati seperti Piala FA, keupayaan dan semangat juang mampu mencipta kejutan walaupun berdepan pasukan yang lebih berpengalaman dan berstatus pilihan.
3) PKNS 1-0 JDT (2019)
PKNS FC mencuri tumpuan apabila berjaya menumpaskan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), 1-0 dalam aksi pusingan 16 Piala FA 2019 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor.
Gol kemenangan PKNS hadir pada minit ke-48 hasil sentuhan pemain import dari Liberia, Kpah Sherman yang menggegarkan kubu kuat JDT di laman sendiri ketika itu.
Meskipun JDT menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan berbahaya, PKNS menunjukkan disiplin tinggi dan semangat juang luar biasa untuk mengekang asakan lawan sepanjang 90 minit.
Kecekalan pasukan ‘underdog’ itu membolehkan mereka mengekalkan kelebihan jaringan hingga tamat perlawanan dan melangkah ke suku akhir Piala FA.
Kejutan PKNS itu menjadi salah satu detik penting dalam saingan Piala FA 2019, membuktikan bahawa tiada pasukan yang terlalu besar untuk dikalahkan, dan underdog masih berpeluang melangkah jauh dalam kejohanan format kalah mati. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram