Saiz skuad boleh jadi cabaran, KL City perlu belajar cara Sabah  


  • Podium
  • Rabu, 20 Ogos 2025

KL City dianggap sebagai pencabar bagi kempen Liga M musim ini.

KUALA Lumpur (KL) City FC dikejutkan dengan kekalahan di tangan Kelantan The Real Warriors (TRW) apabila tewas 1-3 dalam aksi pertama Pusingan 16 Piala FA 2025/26 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Isnin.

Pasukan tuan rumah memperoleh kemenangan hasil dua jaringan ketua pasukan, Ifedayo Olusegun dan satu gol daripada penyerang tempatan, Sean Selvaraj pada minit ke-65 permainan. 

Manakala, pasukan Warga Kota yang turun dengan nama-nama besar seperti Paulo Josue, Safawi Rasid dan Nicolao Cardoso pula sekadar memperoleh gol sagu hati menerusi Syamer Kutty Abba pada minit ke-86. 

BACA LAGI: 'Tiada siapa tahu keajaiban yang mampu dibawa pengendali baharu Sabah FC'

BACA LAGI: Awas Selangor! JDT-Sabah juga pernah diganyang kelab Indonesia

Kekalahan mengejutkan kepada kelab yang dianggap pasukan belasahan susulan Kelantan TRW tewas kepada Kuching City FC pada aksi pertama Liga Super itu membuktikan skuad besar dengan lambakan pemain bintang seperti KL City tidak memberi jaminan. 

Musim ini, skuad The City Boys berbelanja besar dengan membawa masuk pemain berpengalaman seperti Kpah Sherman, Fazrul Amir, Adam Nor Azlin, Syazwan Andik, Azrif Nasrulhaq.

Tidak cukup dengan itu, kelab Lembah Klang berkenaan juga mendapat tonik tambahan dengan memperoleh pemain pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Manuel Hidalgo, Safawi, Nicolao, Ryan Lambert, Declan Lambert dan Syamer Kutty.

Lambakan pemain yang ramai dan berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) itu membuatkan ramai penyokong tanah air meramal KL City akan menjadi pencabar hebat saingan musim ini.

KL City musim ini mempunyai 13 pemain di bahagian serangan. 

Bagaimanapun, skuad besar yang dimiliki Kuala Lumpur itu sepertinya tidak memberi jaminan kepada mereka kerana dua daripada tiga perlawanan yang sudah diharungi iaitu ketika seri 1-1 menentang Sabah FC dan tewas kepada Kelantan TRW. 

Berbeza dengan Sabah FC yang tidak banyak membuat perubahan besar menunjukkan kualiti tersendiri apabila berhasil mengikat KL City dan menang besar dengan keputusan 6-0 kepada Bunga Raya dalam aksi pertama Piala FA mereka.  

Musim ini, saiz skuad Sabah tidaklah sebesar KL City apabila mereka hanya mempunyai Darren Lok sebagai penyerang tempatan berpengalaman dan bergantung harap kepada import dari Bosnia-Herzegivina, Ajdin Mujagic sebagai taruhan serangan.

Manakala, dua pemain tempatan iaitu Jafri Firdaus Chew dan Fergus Tierney pula boleh beraksi sebagai pemain sayap mahupun penyerang tengah, sekali gus pemain sandaran jika dua tonggak utama mengalami kecederaan. 

Sabah pula hanya mempunyai 11 pemain di jentera serangan mereka.

Meskipun pendekatan berkenaan sedikit berisiko, barisan kejurulatihan diketuai pengendali, Jean-Paul de Marigny yang tahu kekuatan setiap pemain sememangnya sudah mencukupi selepas hanya melakukan rombakan kecil. 

Mempertaruhkan banyak pemain sedia ada dari musim lepas dan gabungan 'ubi muda' membuatkan Sabah musim ini seperti kurang memberi ancaman, namun keputusan dua perlawanan awal menjawab sebaliknya.  

Adakah percaturan taktikal membezakan dua pasukan berkenaan ataupun kerjasama pemain-pemain sedia ada di Sabah menjadikan pasukan berpangkalan di Borneo itu lebih baik daripada KL City pada fasa awal ini? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram