
KONFLIK antara Newcastle United dan penyerang utama kelab, Alexander Isak memasuki fasa lebih rumit selepas pemain antarabangsa Sweden itu menuntut janji pernah diberikan.
Dalam hantaran di Instagram peribadinya, bintang berusia 25 tahun itu menyatakan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan mengetahui pendiriannya ketika ini.
Ini kerana laporan sebelum ini mengatakan Isak mahu meninggalkan skuad The Toons selepas khabar angin menyatakan juara musim lalu, Liverpool FC sudah membuat tawaran.
BACA LAGI: Buat perangai sebelum ke Liverpool, legenda Man United 'warning' Isak
BACA LAGI: Liverpool malas layan 'demand' Newcastle, kejar bintang Real gantikan Isak
Isak masih belum berputus asa untuk meninggalkan skuad The Toons pada jendela perpindahan kali ini. — Agensi
Bagaimanapun, kelab berkenaan enggan menerima tawaran mencecah £130 juta (RM742.2 juta) kerana mahu mendapatkan yuran lebih besar selain enggan kehilangan khidmatnya.
Kemelut tersebut kemudian menjadi semakin rumit apabila skuad The Reds bertindak menandatangani penyerang muda Perancis, Hugo Ekitike yang sekali gus menutup ruang buat sebarang rundingan dibuat bersama Isak dan Newcastle United.
Berang akan perkara itu, penyerang berkenaan memilih untuk tidak menyertai sesi latihan pasukan dengan harapan terdapat kelab lain dapat membuat tawaran pada masa terdekat.
Situasi 'tarik tali' tersebut kemudian menjadi buah mulut peminat bola sepak antarabangsa kerana masing-masing mempersoalkan profesionalisme Isak yang tidak sepatutnya berbuat demikian.
Perpindahan Azrif (kanan) ke Selatan tanah air juga tidak lari daripada kontroversi.
Namun, bagi penyokong tempatan, situasi sebegitu bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan kemelut sedemikian pernah berlaku melibatkan dua kelab gergasi tanah air.
Insiden dimaksudkan adalah berkaitan perpindahan Azrif Nasrulhaq dari Selangor ke Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berlanjutan selama kira-kira enam bulan pada 2016.
Selepas menjadi watak penting di sebalik kejayaan skuad Gergasi Merah menjulang Piala Malaysia 2015, bek sayap tersebut dikaitkan dengan perpindahan ke Selatan tanah air.
Ini kerana skuad Harimau Selatan pada waktu itu memerlukan penambahbaikan di posisi tersebut dengan Azrif pada ketika itu merupakan pemain lokal terbaik.
JDT terpaksa mengeluarkan kenyataan bagi menjawab spekulasi perpindahan melibatkan Azrif. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Malah, pada penghujung tahun sebelumnya, perpindahan itu sudah kedengaran kerana peminat mula meragui komitmen pemain berkenaan yang mula dikatakan bakal berkelana dalam masa terdekat.
Spekulasi tersebut terima di pengetahuan pihak pengurusan JDT yang mengeluarkan kenyataan rasmi mengatakan mereka tidak berminat dengan pertahanan sayap itu kerana masih terikat dengan Selangor.
Tetapi, kemelut berkenaan tidak terhenti di situ apabila Azrif masih mahu perpindahan berkenaan direalisasikan dengan menyatakan peluang tersebut hanya datang sekali.
Meskipun pernah meminta maaf terhadap peminat akan sikapnya tersebut, dia pernah merayu secara terbuka kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) agar menerima tawaran JDT.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Jun 2016, Azrif meminta dirinya dilepaskan dengan kata-kata tersebut mencetuskan keretakan antaranya dan penyokong.
Azrif akhirnya menjadi milik skuad Harimau Selatan selepas hampir tujuh bulan dikaitkan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Drama di luar padang tersebut juga memberi impak kepada prestasinya apabila persembahannya semakin merudum seperti gagal menyempurnakan sepakan penalti di pentas akhir Piala Sumbangsih.
Namun, kepercayaan masih dicurahkan barisan kejurulatihan Selangor terhadap Azrif yang terus menurunkan pemain berkenaan kerana kualitinya sukar diperkecilkan.
Kemelut antara kedua-dua kelab itu akhirnya selesai selepas kelab Lembah Klang itu menerima tawaran dibuat dan memuktamadkan perpindahan pada Julai tahun yang sama.
Meskipun Azrif tidaklah menjadi nama utama dalam barisan pertahanan JDT, gosip tersebut masih mencuri perhatian kerana keengganan Selangor seakan-akan sama dengan tindakan Newcastle United.
Jendela perpindahan di Eropah yang hanya akan ditutup pada 1 September masih memberikan ruang buat Isak mencari kelab baharu, namun dengan sikapnya yang begitu, adakah terdapat kelab masih berminat dengannya? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram