
JUARA Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/2025, Liverpool dilaporkan kini beralih arah kepada penyerang Real Madrid, Rodrygo Goes selepas usaha mendapatkan bintang Newcastle United, Alexander Isak menemui jalan buntu.
Perpindahan Luis Diaz ke Bayern Munich dengan nilai sekitar £65 juta (RM390 juta) pada awalnya dijangka akan membolehkan Liverpool melabur semula bagi memperkuatkan jentera serangan dengan Isak menjadi sasaran utama.
Namun, bidaan besar berjumlah £110 juta (RM660 juta) yang dikemukakan oleh The Reds telah ditolak mentah-mentah oleh Newcastle, yang difahamkan hanya akan melepaskan pemain Sweden itu dengan harga tidak kurang daripada £150 juta (RM900 juta).
BACA LAGI: Liverpool berduka, Diogo Jota terbunuh nahas jalan raya tragis ketika usia 28 tahun
BACA LAGI: Lebih bagus dari Mbeumo, Man United sedia ‘sailang’ sasaran Liverpool lepas perjumpaan rahsia
Keengganan Newcastle menyebabkan Liverpool menilai semula strategi mereka dan memilih untuk menamatkan rundingan, malah menggambarkan usaha itu sebagai sia-sia.
Sebagai alternatif, fokus kelab kini beralih kepada Rodrygo yang menghadapi masa depan tidak menentu di Santiago Bernabeu dengan ESPN Brazil melaporkan Liverpool sudah menghubungi wakil pemain Brazil itu dan sedang bersiap sedia untuk mengemukakan tawaran rasmi.
Penyerang Real Madrid, Rodrygo Goes. — Agensi
Perkembangan itu turut disokong oleh wartawan sukan Sepanyol, Siro Lopez yang mendakwa Rodrygo telah bersetuju secara lisan dengan terma peribadi yang ditawarkan oleh skuad bimbingan Arne Slot itu.
"Liverpool telah berbincang dengan wakil Rodrygo, dan penyerang Real Madrid itu telah meluluskan tawaran tidak rasmi dari segi terma peribadi," ujarnya.
Rodrygo turut menjadi buruan beberapa kelab gergasi Liga Perdana Inggeris lain termasuk Arsenal dan Tottenham, sekali gus menjadikan perebutan untuk mendapatkan tandatangannya semakin sengit. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram