
SAINGAN Liga Malaysia musim 2025/2026 kini telah membuka tirainya dengan beberapa pasukan mula mempamerkan kemampuan sebenar di pentas Liga Super.
Ada kelab yang memulakan musim baharu dengan aksi penuh bergaya, namun tidak kurang juga yang masih mencari rentak untuk mencapai prestasi terbaik.
Seperti dijangka, juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) terus menunjukkan kekuatan luar biasa dengan memanfaatkan sepenuhnya kualiti tinggi dalam skuad mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT perlukan khidmat Safawi, striker kelab Borneo tundukkan kelab Singapura 7 tahun lalu
BACA LAGI: Perjalanan masih panjang, tak adil jadikan aksi berdepan NSFC penanda aras Xisco Munoz di JDT
Selepas dua perlawanan, Harimau Selatan kini mendahului carta liga dengan kutipan enam mata dan kelebihan lapan jaringan.
Namun begitu, di sebalik kehangatan aksi di atas padang, terdapat beberapa detik yang pastinya mencetuskan rasa kecewa, khususnya melibatkan kegagalan menyempurnakan sepakan penalti.
Menariknya, kegagalan itu bukan disebabkan kecemerlangan penjaga gol lawan, sebaliknya berpunca daripada kesilapan pemain sendiri ketika berhadapan dengan peluang keemasan di hadapan gawang.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang gagal menyempurnakan sepakan penalti pada awal musim ini, momen yang tentunya mahu mereka lupakan secepat mungkin.
1. Jairo da Silva
Penyerang import baharu Harimau Selatan, Jairo da Silva menjadi antara pemain yang mencatat kegagalan menyempurnakan sepakan penalti dalam saingan Liga Super musim ini.
Walaupun memiliki kelebihan fizikal dan reputasi sebagai penjaring prolifik, pemain kelahiran Brazil itu gagal memanfaatkan peluang keemasan ketika JDT menentang Negeri Sembilan FC pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada 12 Ogos lalu.
Sepakan penalti itu dihadiahkan selepas Arif Aiman Hanapi dijatuhkan dalam kotak penalti, namun Jairo yang diberi tanggungjawab menyudahkannya tidak berjaya menewaskan penjaga gol pelawat, Azri Ghani kerana sepakannya tersasar tinggi sekali gus melepasi palang gol.
Aksi kurang menjadi di hadapan ribuan penyokong sendiri itu pastinya mencetuskan rasa kecewa buat penyerang berusia 33 tahun tersebut, lebih-lebih lagi ketika dia sedang cuba mencipta impak awal bersama pasukan baharunya.
Bagaimanapun, kegagalan tersebut tidak menghalang JDT daripada meraih kemenangan, apabila mereka berjaya menundukkan skuad Jang dengan keputusan 5-3 dalam perlawanan penuh aksi dan jaringan.
Setakat ini, Jairo telah menjaringkan satu gol peribadi dalam aksi Piala Sumbangsih menentang Selangor FC pada 8 Ogos lalu.
2. Safawi Rasid
Aksi suku akhir pertama Piala FA 2025/2026 menyaksikan Kuala Lumpur City FC (KL City) gagal membawa pulang keputusan positif apabila tewas 1-3 kepada Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan pada Isnin.
Namun, tumpuan utama perlawanan turut terarah kepada kegagalan pemain sayap The City Boys, Safawi Rasid menyempurnakan sepakan penalti, satu detik yang mengejutkan penyokong bola sepak tanah air.
Safawi yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan selepas kekasaran dilakukan dalam kotak penalti, dilihat gagal memberikan fokus sepenuhnya ketika menyempurnakan tugas itu.
Sepakannya tersasar tinggi, melepasi palang gol, satu momen yang digambarkan oleh penyokong sebagai 'hantaran ke bulan'.
Kegagalan itu menghampakan peluang KL City untuk merapatkan jurang dan memberi kelebihan buat Kelantan TRW yang kini membawa bekalan dua gol ke perlawanan timbal balik di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14 September nanti.
Dalam perlawanan tersebut, dua gol Kelantan TRW dijaringkan oleh penyerang import, Ifedayo Olusegun, manakala satu lagi disumbangkan oleh Sean Eugene Selvaraj.
Gol saguhati skuad Warga Kota pula dijaringkan oleh pemain tengah, Syamer Kutty Abba.
3. Rafael Iserhard Holstein
Aksi pembukaan Liga Super 2025/2026 antara Imigresen FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada 9 Ogos lalu menyaksikan pendatang baharu liga itu berdepan detik sukar apabila tewas tanpa jaringan di laman sendiri.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri Pulau Pinang itu dilihat sebagai medan pemanas badan buat The City Boys, yang berjaya mengawal permainan dan memanfaatkan pengalaman mereka di pentas tertinggi bola sepak negara.
Lebih memeritkan buat Imigresen FC, pasukan berpangkalan di Utara tanah air itu mensia-siakan dua peluang keemasan apabila gagal menyempurnakan dua sepakan penalti yang diberikan oleh pengadil perlawanan.
Apa yang menjadi perhatian, kegagalan tersebut bukanlah disebabkan oleh kecekapan penjaga gol KL City, sebaliknya berpunca daripada kesilapan sendiri para pemain Imigresen dalam menyudahkan sepakan.
Penyerang tengah mereka, Rafael Iserhard Holstein menjadi antara yang paling kecewa apabila sepakan penaltinya pada penghujung permainan sekadar menggegar palang, sekali gus menafikan peluang skuad kendalian Imigresen FC untuk sekurang-kurangnya mencatat gol sulung dalam aksi sulung mereka di Liga Super.
Kegagalan itu jelas menjadi pengajaran berguna buat Imigresen FC, yang perlu segera memperbaiki ketajaman di hadapan gawang jika mahu bersaing dengan pasukan-pasukan lebih berpengalaman dalam kancah liga utama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram