Buriram United akan pastikan Selangor bertambah kuat — Kinoshi


  • Podium
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Skuad Gergasi Merah melayakkan diri ke Piala Shopee 2025/26 selepas muncul naib juara Liga Super musim lalu. — Facebook/Selangor FC

UJIAN besar menanti Selangor FC dalam kempen Piala Shopee kali ini apabila mereka akan memulakan kempen Kumpulan A dengan pertemuan berdepan juara bertahan, Buriram United.

Aksi yang dijadualkan berlangsung di Chang Arena, Thailand pada Khamis itu akan menyajikan pertembungan cukup hangat kerana kualiti tuan rumah tidak perlu diceritakan lagi.

Selain menjuarai pertandingan peringkat Asia Tenggara itu pada edisi lalu, mereka turut mencipta nama selepas melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

BACA LAGI: Jika tundukkan Buriram United, peminat Selangor akan bercakap mengenainya sepanjang musim — Asmawi Bakiri

BACA LAGI: [VIDEO] Untungnya Harimau Selatan, sambar ‘ubi muda’ Selangor berjiwa kelajuan

Kinoshi mahu anak-anak buahnya memberi persembahan terbaik di Thailand. Facebook/Selangor FC

Ini menunjukkan cabaran besar bakal menanti skuad Gergasi Merah untuk membawa pulang kemenangan dengan sebilangan penyokong beranggapan satu mata sahaja sudah mencukupi.

Namun, bagi pengendali pasukan, Katsuhito Kinoshi, kebolehan diakui Buriram United bukanlah alasan yang menghalang Selangor FC daripada memberi aksi terbaik di tempat lawan.

"Mereka merupakan salah sebuah pasukan terbaik di Asia Tenggara di samping Johor Darul Ta'zim (JDT). Namun, musim lalu, kita sudah berusaha keras untuk meraih slot ke pentas megah ini.

"Saya amat berbangga dengan semua pemain dan hasil usaha mereka. Untuk berada di sini dan berdepan Buriam United merupakan satu penghargaan. Kini, kita perlu membuktikan gaya permainan terbaik," katanya.

Buriram United mempunyai skuad cukup baik untuk memberi tentangan kepada Selangor FC. Facebook/Buriram United

Dalam tiga perlawanan domestik musim ini, Selangor FC sudah merekodkan dua kemenangan, iaitu ketika membenam DPMM FC dan Malaysian University dengan kedua-dua keputusan tersebut diraih selepas tunduk kepada JDT dalam aksi Piala Sumbangsih.

Kedua-dua kemenangan itu tidak cukup untuk mengatakan skuad Gergasi Merah sudah bersedia, namun ia memberi keyakinan dan momentum buat pasukan tersebut menjelang aksi getir ini.

"Ini merupakan perlawanan yang akan menjadikan kami lebih kuat. Mereka mempunyai 16 pemain luar negara dan kita tidak tahu pemain manakah akan diturunkan tetapi kita akan bersedia untuk hadapi cabaran bakal disediakan.

"Kita perlu menunjukkan gaya permainan sebenar. Kita perlu melawan dan pada masa sama, berasa bangga kerana berpeluang berdepan salah sebuah pasukan terbaik di Asia," kata Kinoshi lagi.

Selain diundi di samping Buriram United, Kumpulan A Piala Shopee 2025/26 turut mengandungi BG Pathum United (Thailand), CAHN FC (Vietnam), Tampines Rovers (Singapura) dan Dynamic Herb Cebu (Filipina). — The Star/T AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram