[VIDEO] JDT perlukan khidmat Safawi, striker kelab Borneo tundukkan kelab Singapura 7 tahun lalu


  • Podium
  • Rabu, 20 Ogos 2025

Bekas penyerang JDT, Hazwan Bakri (kanan) diasak pemain Tampines Rovers dalam aksi Kumpulan H saingan Piala AFC musim 2018. — Facebook/JST

MENJELANG pertemuan bertemu Lion City Sailors dalam Kumpulan B saingan Piala Shopee 2025/26 pada Khamis, Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu mencatatkan kemenangan penting ke atas lawan dari Singapura itu.

Pasukan kendalian Aleksander Rankovic itu sememangnya perlu dihormati selepas muncul naib juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim lalu, sekali gus menjadi kelab ketiga dari rantau Asia Tenggara berbuat demikian.

Bagaimanapun, kelebihan sememangnya berpihak kepada skuad Harimau Selatan yang tidak perlu diceritakan lagi dari segi mutu dan keunggulan pasukan selepas bertahun-tahun mempamerkan taring di pentas Asia.

BACA LAGI: Perjalanan masih panjang, tak adil jadikan aksi berdepan NSFC penanda aras Xisco Munoz di JDT

BACA LAGI: Lakar keputusan teruk berdepan kelab Utara, Badrul juga pernah senasib Nafuzi

Malah, perlawanan pembukaan itu akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor yang sudah menjadi kubu kukuh kelab Selatan tanah air itu sejak 2020 dengan setiap pasukan bertandang akan pulang dengan kekecewaan.

Tidak cukup dengan itu, rekod pertemuan lampau menyaksikan JDT lebih kerap meraih kemenangan ke atas kelab dari negara jiran meskipun pertembungan terakhir secara kompetitif hanya berlangsung tujuh tahun lalu iaitu pada 2018.

Ketika itu, skuad Harimau Selatan diletakkan dalam Kumpulan H Piala AFC di samping Tampines Rovers (Singapura), Song Lam Nghe An (Vietnam) dan Persija Jakarta (Indonesia) selepas gagal melepasi pusingan kelayakan ACL.

JDT yang dikendalikan Luciano Figueroa ketika itu jelas bergelut sepanjang peringkat kumpulan apabila hanya mencatatkan 10 mata daripada enam perlawanan dengan empat daripadanya diraih dalam dua pertembungan menentang Tampines Rovers.

Hazwan (kiri) dan Safawi (tengah) antara dua pemain yang masing-masing mencetak satu gol buat JDT. — Facebook/JST

Menariknya, salah sebuah perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan itu berlangsung di Stadium Larkin, Johor yang berakhir dengan kemenangan buat JDT dengan Safawi Rasid dan Hazwan Bakri mencatatkan satu gol.

Kemenangan itu bagaimanapun tidak cukup untuk melayakkan JDT ke pusingan kalah mati kerana hanya satu pasukan daripada setiap kumpulan yang layak ke peringkat seterusnya.

Namun, situasi kini sudah berubah apabila JDT tidak lagi bergantung kepada Safawi dan Hazwan selepas kedua-dua pemain memilih haluan masing-masing.

Untuk rekod, Safawi kini menyertai Kuala Lumpur City FC secara pinjaman dari JDT, manakala Hazwan pula beraksi bersama Kuching City FC.

Jadi, dengan JDT bakal bertemu pasukan Singapura dalam Piala Shopee, ia cukup mengingatkan penyokong terhadap dua pemain yang pernah dijulang namanya dalam memastikan kemenangan milik Harimau Selatan pada ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram