
SEORANG lelaki maut dalam perjalanan ke tempat kerjanya selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan di laluan di Persiaran Mokhtar Dahari di Puncak Alam, Selangor pada Selasa.
Berdasarkan perkongsian pelakon dan aktivis masyarakat, Lando Zawawi, mangsa dikenali sebagai Amirul Mukminin difahamkan baru sahaja mendirikan rumah tangga, meninggalkan seorang isteri yang sedang mengandung.
Kejadian berkenaan tular selepas rakaman video berdurasi kurang seminit menunjukkan seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang dipercayai ahli keluarga meratapi pemergian mangsa.
BACA LAGI: Ibu Zara minta saksi terutama pelajar supaya tidak takut, kalau takut polis jumpa peguam
BACA LAGI: [VIDEO] Jika polis ikut SOP, bertindak tegas tak akan berlaku gelombang JusticeForZara — Peguam
Lando yang berada di lokasi kejadian meluahkan rasa kesal terhadap keadaan jalan berkenaan susulan menurutnya tidak diselenggara dengan baik meskipun menjadi laluan utama kenderaan berat.
"Tiada flagman, tanah dan batu bersepah atas jalan, tiada kolam cucian tayar. Saluran air ke longkang pula tersumbat, apabila hujan tanah dan batu berkumpul sehingga masuk ke laluan.
"Kamu yang menyokong dan memberi permit perlu bertanya pada diri sendiri. Mana pemantauan SOP aktiviti kuari yang kamu benarkan," katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, polis mengesahkan lelaki tempatan berusia 23 tahun yang merupakan seorang juruteknik itu maut selepas motosikal ditungganginya terbabas ketika melalui jalan berpasir di Puncak Alam pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.20 pagi ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda Wave dari arah Puncak Alam menuju ke sebuah kilang di Seksyen 26, Shah Alam.
"Siasatan mendapati motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ketika melalui kawasan berpasir di bahu kiri jalan.
"Mangsa tercampak ke kawasan berumput di bahu jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai atau saksi bebas yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram