[VIDEO] Cinta Terri kekal utuh, 19 tahun tanpa pengganti sejak pemergian 'Crocodile Hunter’


  • Cinta
  • Selasa, 19 Ogos 2025

Bagi seorang wanita, Terri Irwin yang merupakan isteri kepada mendiang hos program The Crocodile Hunter, Steve Irwin, cinta yang dibina terlalu istimewa untuk diganti.

BAGI kebanyakan orang, kehilangan pasangan hidup adalah luka yang perlahan-lahan cuba diubati dengan masa.

Namun, bagi seorang wanita, Terri Irwin yang merupakan isteri kepada mendiang hos program The Crocodile Hunter, Steve Irwin, cinta yang dibina terlalu istimewa untuk diganti.

Steve, yang terkenal dengan keberaniannya mengendalikan hidupan liar meninggal dunia secara tragis pada 4 September 2006 setelah diserang ikan pari ketika membuat penggambaran.

BACA LAGI: [VIDEO] Pesona perkahwinan diraja anak saudara Sultan Perak, pasangan mempelai segak, anggun gayakan persalinan songket kuning keemasan

BACA LAGI: Bapa kandung hilang 28 tahun, bila muncul halang nikah, ketahui prosedur wali enggan

Kehilangan itu bukan sekadar memisahkan Terri daripada suami dan bapa kepada anak-anaknya, malah meragut sebahagian daripada jiwanya. 

Sejak hari itu, beliau tidak pernah keluar bersama atau menjalinkan hubungan dengan sesiapa kerana baginya, dia sudah bertemu dengan cinta sejati.

“Steve unik. Bagaimana mungkin saya bertemu seseorang seperti dia lagi?” kata Terri dalam satu temu bual, mengenang 14 tahun kebahagiaan yang mereka lalui bersama sebelum tragedi memisahkan.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 Jun 1992 di kampung halaman Terri, Eugene, Oregon, Amerika Syarikat. 

Selepas majlis, mereka kembali ke Australia dan mula bekerja di zoo yang diasaskan oleh ibu bapa Steve.

Menariknya, bulan madu mereka menjadi detik permulaan siri dokumentari The Crocodile Hunter yang mencetuskan fenomena dokumentari hidupan liar di seluruh dunia.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Bindi dan Robert.

Kedua-duanya kini turut mewarisi minat dan misi murni ibu bapa mereka dalam memelihara alam.

Selepas pemergian Steve, Terri mengambil alih pengurusan penuh Australia Zoo yang mereka bangunkan bersama dan menjadikannya antara pusat pemuliharaan hidupan liar paling terkenal di dunia.

Dia juga meneruskan kerja amal melalui sebuah organisasi, Wildlife Warriors yang mereka tubuhkan pada 2002 bagi melindungi spesies terancam dan memelihara habitat semula jadi.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram