
DALAM dua tahun kebelakangan ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) amat aktif menandatangani bakat muda untuk diserap ke dalam akademi kelab dan pada akhirnya, bakat masing-masing akan digilap.
Meskipun kemungkinan untuk 'ubi muda' itu diserap ke dalam pasukan utama, peluang beraksi dengan fasiliti serba lengkap di bawah bimbingan jurulatih terkenal sukar ditolak.
Malah, keputusan untuk menjadi sebahagian 'ahli keluarga' Harimau Selatan dibuat kerana tiada kelab Liga Super lain dapat menawarkan peluang sedemikian.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak sangka, tonggak tengah JDT rupanya ‘cikgu’ Bahasa Melayu Fergus Tierney
BACA LAGI: 'Bintang muda berdisiplin tinggi,' permata bola sepak Penang pilih Akademi JDT
Ezzra (tengah) bersama keluarga selepas sah menjadi sebahagian daripada Akademi JDT. — Facebook/HarimauMalaya
Jadi, tidak hairanlah apabila pada Selasa, JDT mengumumkan kehadiran seorang lagi bintang dalam pembikinan, Ezzra Uwais Mohd Soffrul Asraf yang secara rasmi menyertai pasukan itu.
Berita baik tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran di laman media sosial Harimau Malaya berserta tiga keping gambar memaparkan pemain muda berkenaan bersama-sama keluarganya serta staf pengurusan kelab.
"Dari Kajang, Selangor ke JDT, tahniah buat Muhammad Ezzra Uwais Mohd Soffrul Asraf yang secara rasminya menandatangani kontrak bersama Akademi JDT.
"Ezzra Uwais ialah pelatih Akademi Tunas Hulu Langat sejak umur tujuh tahun dan pernah beraksi cemerlang di beberapa perlawanan peringkat antarabangsa. Ezzra Uwais juga beraksi bersama SoccaLoca FC," tulisnya.
Ezzra bersama pasukannya terlibat dalam sebuah kejohanan peringkat belia yang diadakan di China. — Facebook/SoccaLoca FC
JDT sememangnya menjadi cita-cita utama pemain muda itu kerana perkongsian di laman media sosial memaparkannya kerap meletakkan logo kelab berkenaan dalam beberapa hantaran lalu.
Oleh itu, peluang berada dalam akademi pasukan sudah tentu menyuntik motivasi buat Ezzra untuk memberikan persembahan 100 peratus di atas padang selepas bertahun-tahun terlibat dalam sukan diminatinya itu.
Menerusi semakan di laman media sosial SoccaLoca FC, kelab berkenaan sememangnya aktif menyertai aksi di pentas antarabangsa, termasuk dalam Kejohanan Edisi ke-10 Haisi International Football peringkat belia.
Ini menunjukkan bakat-bakat muda yang beraksi buat pasukan berkenaan mempunyai potensi tersendiri, termasuk Ezzra yang kebolehannya dapat dihidu pihak JDT.
Selain berbakat besar di atas padang, rekrut baharu Akademi JDT itu turut aktif dalam sukan olahraga kerana dia juga merupakan atlet di peringkat sekolah.
Hal itu ditonjolkan menerusi video di laman TikTok Ezzra Uwais memaparkan 'ubi muda' berkenaan merangkul pingat emas dalam acara 100 meter (m), 200m dan acara 4x100m dalam kejohanan peringkat sekolah.
Ini merupakan satu nilai tambah yang boleh dibawa pemain tersebut ke atas padang kerana kepantasan dimilikinya mampu menjadikannya aset besar buat skuad Harimau Selatan pada masa akan datang.
Malah, dengan dia kerap beraksi di posisi serangan, kebolehan berkenaan akan membolehkannya mengatasi benteng pertahanan lawan dengan mudah, lebih-lebih lagi di peringkat profesional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram