Sebelum 31 Ogos, 3 pemain gred A boleh jadi rekrut 'last minute' 4 kelab termasuk Penang-DPMM


  • Podium
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Tempoh dua minggu sebelum 31 Ogos bakal menjadi tarikh penting buat semua kelab Liga M sama ada untuk melengkapkan misi pemburuan bintang baharu atau sekadar menutup jendela perpindahan tanpa sebarang tambahan pemain baharu. — Facebook/MFL

DEBARAN jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M) semakin memuncak dengan tarikh tutup pada 31 Ogos ini dijangka menyaksikan kejutan di saat akhir, sekali gus menjadikan tempoh kira-kira dua minggu ini sebagai peluang mencari pemain baharu.

Dengan perlawanan Liga Super sudah memasuki minggu ketiga dan Piala FA juga membuka tirainya, terdapat beberapa pasukan dilihat bergelut di bahagian pertahanan, tengah dan serangan hingga merencatkan peluang mereka mendapatkan tiga mata.

Fenomena 'last minute signing' bukan perkara asing dalam bola sepak tempatan, malah sering menjadi strategi pasukan yang menunggu peluang terbaik sebelum memuktamadkan rundingan.

BACA LAGI: Disisihkan Chunbuk Cheongju FC, Kogi kembali ke Liga M sertai pasukan Pantai Timur?

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan legenda bola sepak, bintang berambut ‘Pekan Ronaldo’ ajak bergaduh sebaliknya cuma YouTuber terkenal

Jika ada kelab Liga Super yang mahu mengambil pemain sebelum 31 Ogos ini, terdapat beberapa tonggak berpengalaman berstatus ejen bebas wajar menjadi pelaburan mereka jika mahu memperkuatkan mengubah rentak permainan.

Apa yang pasti, tempoh dua minggu sebelum 31 Ogos bakal menjadi tarikh penting buat semua kelab Liga Malaysia sama ada untuk melengkapkan misi pemburuan bintang baharu atau sekadar menutup jendela perpindahan tanpa sebarang tambahan.

Bagi membantu kelab mengecilkan skop pencarian pemain baharu mereka, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain berpengalaman berstatus ejen bebas boleh menjadi rekrut minit akhir mereka.

1) Fadhli Shas

Fadhli antara pertahanan mempunyai reputasi yang baik dalam Liga M. Facebook/SriPahang

Bek tengah berpengalaman, Fadhli Shas antara pemain senior wajar diperhatikan oleh kelab Liga Super lagi-lagi yang mempunyai masalah pertahanan selepas mengharungi dua atau satu perlawanan setakat ini.

Fadhli yang merupakan pertahanan tengah utama Sri Pahang pada musim lepas masih tidak mempunyai sebarang kelab meskipun sebelum ini, dia ada dikaitkan dengan pasukan seperti Imigresen FC.

Bukan hanya boleh menjadi di posisi tengah, pemain berusia 34 tahun itu juga kerap diberikan kepercayaan untuk beraksi sebagai pertahanan kanan seperti mana yang dilakukan bersama Melaka United pada kempen 2021.

Pengalaman bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sepanjang kariernya juga tidak boleh dipandang rendah apabila dia pernah memikul tanggungjawab sebagai antara bek tengah terbaik dimiliki skuad Harimau Malaya.

Kelab jemputan dari Brunei, DPMM FC yang membiarkan gawang mereka bolos dua gol mudah ketika merekodkan seri 2-2 menentang PDRM FC sesuai merekrut Fadhli bagi memantapkan pertahanan mereka.

2) Sony Norde

Sony Norde membantu Malut United FC menamatkan saingan Liga 1 Indonesia di tangga ketiga. Agensi

Penyerang sayap kiri, Sony Norde berstatus ejen bebas selepas tidak lagi menyarung jersi kelab Indonesia iaitu Malut United FC juga senjata saat akhir untuk kelab yang lemah di jentera serangan.

Sony menjadi watak utama Malut Unoited apabila pemain kelahiran Haiti itu berjaya membantu Malut United mendaki ke tangga ketiga kempen 2024/2025, sekali gus memastikan kelayakan pasukan ke Piala Shopee musim ini.

Pemain berusia 36 tahun yang membantu Malut mencetak dua bantuan jaringan dalam 14 perlawanan itu membuatkan kelab divisyen utama India, Diamomnd Harbour FC mahu mendapatkan khidmatnya.

Bagaimanapun, khabar angin ke India itu tidak bertukar menjadi realiti apabila sehingga kini Sony masih tidak mempunyai sebarang kelab dengan ia merupakan satu hakikat yang sukar dipercayai.

Hal ini kerana, kepantasan dan kelincahannya pemain berkenaan khususnya ketika bermain bersama kelab Liga Super seperti Melaka United, Terengganu FC dan Kedah Darul Aman FC masih diingati penyokong.

Berdasarkan statistik selepas dua perlawanan berlangsung, kelab yang hanya menjaringkan satu gol seperti Imigresen FC, Penang FC dan Kelantan The Real Warriors boleh cuba mendapatkan khidmatnya.

3) R. Kogileswaran

Kogi hanya diturunkan ketika penampilan debut dalam aksi Piala FA Korea pada Mac 2023. — Instagram/Kogi

R. Kogileswaran pernah mencetuskan fenomena dalam landskap bola sepak tanah air apabila dia pernah mengambil keputusan untuk berkelana ke Korea Selatan dengan menyertai Chungbuk Cheongju di divisyen keempat pada musim 2023.

Bagaimanapun, selepas hanya tampil dalam dua perlawanan bersama kelab itu, karier Kogileswaran semakin menurun sejak kembali ke Liga M pada 2023 dengan musim lepas pun menyaksikan dia hanya bermain untuk kelab Liga A1 Semi Pro iaitu Bungar Raya Damansara.

Selepas tidak bersama Bunga Raya Damansara, Kogileswaran atau mesra dengan sapaan Kogi menyertai sesi pemilihan bersama DPMM FC, tetapi tiada maklum balas posiif diterima penyerang sayap itu.

Selain mencuba nasib bersama DPMM FC, pemain berusia 27 tahun itu juga dikhabarkan akan berkelana ke Kelantan The Real Warriors pada kempen ini bagi membantu mempertajamkan bahagian serangan mereka.

Adakah dalam tempoh dua minggu ini, Kogileswaran akan diumumkan sebagai pemain baharu Kelantan The Real Warriors atau bekas tonggak kebangsaan itu akan kekal mencari-cari kelab sehingga jendela perpindahan kedua nanti? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram