
SABAH FC membuktikan kualiti mereka sebagai pasukan Liga Super apabila mudah membenam Bunga Raya FC 6-0 pada aksi pertama saingan 16 terbaik Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Ahad.
Skuad bimbingan Jean-Paul de Marigny tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila pemain kebangsaan, Darren Lok berjaya meletakkan bola ke dalam gawang Bunga Raya pada minit ke-10.
Selepas itu Darren juga mencetak gol pada minit ke-47 dan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-53. Tiga lagi gol pula masing-masing disumbangkan Fergus Tierney, Jafri Chew dan Ajdin Mujagic.
BACA LAGI: 'Tiada siapa tahu keajaiban yang mampu dibawa pengendali baharu Sabah FC'
BACA LAGI: Awas Selangor! JDT-Sabah juga pernah diganyang kelab Indonesia
Sumbangan pemain campuran Malaysia-England berkenaan meletakkan dirinya dalam senarai eksklusif penyerang yang berjaya meledak hatrik pada fasa awal saingan berprestij tersebut.
Kejayaan itu sekali gus menambah warna dalam kariernya yang kian menyerlah sejak menyarung jersi Sabah, apabila hatrik tersebut hadir pada saat pasukan memerlukan sentuhan penyudah klinikal untuk memastikan laluan ke pusingan seterusnya.
Darren membuktikan naluri pemusnahnya di hadapan gawang lawan masih tajam dan mampu menjadi senjata utama buat pasukan kendalian Jean-Paul pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Lebih istimewa, Darren kini berada sebaris dengan beberapa nama besar bola sepak tempatan yang pernah mencipta hatrik di peringkat awal Piala FA, menjadikan pencapaiannya satu detik yang cukup bermakna.
1) Nemanja Vidakovic (Sime Darby, 2015)
Vidakovic beraksi untuk Sime Darby pada musim 2015. — Agensi
Nama Nemanja Vidakovic pernah menjadi sebutan dalam saingan Piala FA apabila penyerang import Serbia itu meledak hatrik ketika membantu Sime Darby membelasah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) FC 5-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Selain hatrik Vidakovic, Sime Darby turut menyaksikan dua lagi jaringan terhasil menerusi sepakan kencang Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-41 serta sentuhan Marko Perovic seawal babak kedua minit ke-54.
Gabungan trio import berkenaan menjadi kekuatan utama pasukan, yang ketika itu dilabel sebagai pencabar luar biasa dalam saingan Piala FA susulan sejarah mereka pernah menjadi naib juara Piala FA pada 2012 selepas tewas kepada Kelantan.
Hatrik Vidakovic bukan sekadar melonjakkan Sime Darby di pusingan awal, malah memberikan inspirasi buat skuad kendalian Ismail Zakaria untuk melangkah lebih jauh sehingga ke peringkat separuh akhir.
Namun, langkah Sime Darby akhirnya terhenti di pentas separuh akhir selepas tunduk 1-4 kepada Kelantan FA apabila merekodkan seri 1-1 pada aksi pertama dan tewas 0-3 pada perlawanan kedua.
Meski perjuangan tamat di situ, detik hatrik Vidakovic kekal dalam memori peminat bola tempatan sebagai salah satu momen indah yang membuktikan kekuatan kelab berstatus luar jangka itu dalam kancah Piala FA.
2) Carlos Kahe (Kedah, 2016)
Kehe (kiri) hanya bertahan selama enam bulan bersama Kedah. — Agensi
Pasukan berpangkalan di Utara tanah air, Kedah pernah mencatat kemenangan besar dalam saingan Piala FA apabila membelasah Megah Murni 8-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada pusingan kedua.
Kemenangan besar yang dicatat skuad Hijau Kuning berkenaan juga akhirnya menamatkan masalah penyudah tumpul yang membelenggu pasukan sebelum itu.
Dalam perlawanan tersebut, penyerang import Brazil iaitu Carlos Kahe muncul wira apabila meledak hatrik dengan ketajamannya di depan gawang memberikan dimensi baharu kepada jentera serangan Helang Merah.
Selain Kahe, beberapa pemain lain turut menyumbang gol bagi memastikan Kedah melangkah selesa ke pusingan ketiga hingga ia menjadi malam yang mengembalikan keyakinan penyokong terhadap pasukan.
Kahe yang dibawa masuk berbekalkan pengalaman luas di Brazil, tampil memenuhi harapan dengan penyudah konsisten, selain dia juga menjadi simbol penyelesaian kepada masalah serangan dihadapi Kedah.
Walaupun Kehe merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan lapan gol, empat dalam Liga Super dan empat dalam Piala FA, pemain itu tidak berada dalam perancangan Kedah selepas kira-kira enam bulan berkhidmat.
3) Guilherme de Paula (Kuala Lumpur, 2018)
De Paula pernah dilabel sebagai salah satu penyerang prolifik Liga Malaysia pada suatu ketika dahulu. — Agensi
Penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula pernah mencetuskan sensasi dalam saingan Piala FA ketika menyarung jersi Kuala Lumpur apabila meledak hatrik untuk membantu pasukannya membenam Kuching FA 4-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Aksi garang penyerang kelahiran Brazil itu menyaksikan dia meledak jaringan pada minit ke-21, 65 dan 90 untuk mengesahkan kemenangan bergaya skuad The City Boys, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan ketiga Piala FA 2018.
Dikenali dengan ketajaman di hadapan gawang, kelincahan serta kawalan bola yang baik, beliau sering menjadi igauan pertahanan lawan dan watak utama dalam kebangkitan Kuala Lumpur.
Hatrik tersebut sekali gus menjadi bukti kualiti sebenar De Paula sehingga khidmat dilamar Perak, Johor Darul Ta'zim dan Melaka, dia juga kemudiannya diberikan peluang menyarung jersi Harimau Malaya.
Walaupun perjalanan kariernya di pentas antarabangsa bersama Harimau Malaya menjadi perdebatan, momen hatrik bersama Kuala Lumpur itu kekal sebagai salah satu detik kemuncak dalam karier domestiknya.
Untuk info, selepas berkhidmat untuk Melaka pada musim 2023 hingga 2024, De Paula tidak dilamar oleh mana-mana pasukan hingga memutuskan untuk bersara dari dunia bola sepak profesional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram