
PAHANG Rangers melakukan kejutan dengan menewaskan juara bertahan Piala Malaysia Futsal, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Pasir Gudang, Johor pada Ahad.
Pasukan berpangkalan di Pantai Timur berkenaan mara ke final hasil kemenangan agregat 11-9 dengan aksi separuh akhir kedua di Pasir Gudang itu mereka mencatat keputusan 8-4.
Berbekalkan kelebihan tipis JDT yang menang 5-3 di Kuantan minggu lalu, Pahang tampil garang dengan mendahului 2-1 pada babak pertama sebelum aksi berbalas gol tercipta di separuh masa kedua.
BACA LAGI: Kempen MPFL makin mencabar, bekas tonggak Sabah jadi pilihan Pahang Rangers
BACA LAGI: Kedah bercita-cita besar, sambar bintang Paraguay menjelang kempen MPFL
Gol saat akhir Harimau Selatan menyelamatkan mereka daripada tersingkir terus apabila kedudukan agregat terikat 8-8, sekali gus memaksa permainan dilanjutkan ke masa tambahan.
Namun, keampuhan skuad Tok Gajah nyata sukar digugat apabila anak buah Luis Fonseca menambah tiga lagi jaringan berbanding hanya satu gol balasan tuan rumah untuk menoktahkan kemenangan dengan agregat 11-9.
Kemenangan Pahang Rangers hasil sumbangan Felipe De Souza yang menjaringkan empat jaringan, dua gol daripada Harith Na'im, dan Matheus Moura serta Norakmal Norizal masing-masing mencetak satu gol.
Kejayaan itu sekali gus menempah tiket ke final yang bakal berlangsung pada 23 Ogos ini di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan menentang Selangor apabila Pahang Rangers kini hanya selangkah daripada merealisasikan impian menjulang trofi kejuaraan musim ini.
Melihat kecemerlangan pemain-pemain Pahang Rangers itu, penyokong futsal tanah air berpendapat tidak mustahil jika beberapa tonggak mereka akan menarik minat pasukan lain termasuk JDT.
"Habislah musim depan mereka akan borong lagi pemain kita (Pahang Rangers)," komen penyokong, Azuan Azudin.
"Tunggu tahun depan, ada pula nanti pemain Pahang tidak turun latihan," kata seorang lagi penyokong Pahang Rangers, Mohd Akmaruddin Abdul Rahman.
"Habis lah Pahang tahun depan, JDT borong pemain Pahang," pendapat dari penyokong Pahang Rangers, Khairul Zaman Abd Razak.
JDT mendapatkan dua bintang daripada Pahang Rangers pada awal 2024. — Facebook/JDTFutsal
Kebimbangan yang disuarakan penyokong itu disebabkan sebelum ini JDT pernah membawa masuk tonggak utama Pahang Rangers iaitu Ridzwan Bakri dan Mahadir Harahap pada musim 2024.
Lebih teruk apabila ketika itu, dua pemain berkenaan dilaporkan ‘ghaib' untuk satu tempoh termasuklah ponteng sesi latihan Pahang Rangers sebelum kedua-duanya diperkenalkan sebagai tonggak baharu JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram