Selangor dah banyak melabur, cuma belum menang apa-apa — Bojan Hodak


  • Podium
  • Ahad, 17 Ogos 2025

Selangor diundi bersama Lions City, Bangkok United dan Persib untuk Kumpulan G bagi saingan ACL2. — Facebook/SelangorFC

PENGENDALI Persib Bandung, Bojan Hodak mengakui pasukannya bersedia menerima peranan sebagai ‘underdog’ menjelang saingan mencabar Liga Juara Asia 2 (ACL2) selepas undian peringkat kumpulan pada Jumaat lalu.

Pengendali dari Croatia yang cukup mengenali selok-belok bola sepak Asia Tenggara hasil pengalaman bertahun-tahun membimbing di Malaysia itu bakal menyaksikan skuad Persib menentang beberapa kelab paling bercita-cita tinggi di rantau ini.

Tiga pasukan yang bakal dihadapi juara Liga 1 Indonesia berkenaan ialah Selangor FC dari Malaysia, Lions City Sailors dari Singapura, serta Bangkok United yang mewakili Thailand.

BACA LAGI: Awas Selangor! JDT-Sabah juga pernah diganyang kelab Indonesia

BACA LAGI: ACL2: Peluang besar ke pusingan kalah mati, Selangor wajib raih 3 mata di laman sendiri

"Ia satu kumpulan yang menarik. 

"Berdasarkan nilai pasaran TransferMarkt, Bangkok, Lions dan Selangor adalah pilihan utama, tetapi saya fikir sesiapa sahaja mampu menewaskan sesiapa dalam kumpulan ini,"  kata Hodak ketika mengulas keputusan undian.

Hodak yang pernah beberapa kali berdepan Selangor sepanjang karier kejurulatihannya di Malaysia, nyata teruja menantikan cabaran itu dengan menyifatkan undian kali ini membawa gabungan elemen ‘familiar’ dan cabaran baharu.

"Bangkok menamatkan saingan liga Thai di tangga kedua, itu membuktikan mereka pasukan yang bagus. Mereka juga pernah layak ke Liga Juara-Juara sebelum ini, jadi mereka tetap menjadi pilihan. 

"Lions juga banyak melabur, mengekalkan tonggak utama musim lalu dan mereka mara ke final Liga Juara-Juara Asia 2 pada musim lepas. Jadi, membuktikan mereka pasukan yang baik, berkualiti.

"Selangor pula, sejak enam hingga tujuh tahun kebelakangan ini telah melabur banyak wang untuk membina skuad. Mereka memang belum menang apa-apa, tapi pelaburan besar itu sudah dibuat. Kita akan lihat sejauh mana kemampuan mereka," ujarnya. 

Bagi Persib, perjalanan kali ini bukan tentang menjadi pilihan juara, sebaliknya cuba mencipta kejutan menentang pasukan gergasi serantau.

Hodak menegaskan disiplin kewangan serta perkembangan stabil kelab adalah kekuatan utama mereka, walaupun tidak mampu menyaingi kuasa belanja lawan.

"Persib adalah yang paling kecil dalam kumpulan ini, jadi kami datang sebagai underdog, tetapi kami boleh berjuang dan mengejutkan orang. 

"Kami menang liga dua musim berturut-turut. Ramai pemain kami menerima tawaran besar daripada kelab lain.

"Secara kewangan, Persib sentiasa stabil dan tidak berbelanja lebih daripada kemampuan. Kami mungkin bukan yang terkaya di negara ini, tetapi entah bagaimana kami adalah yang paling konsisten," kongsinya. 

Bojan membantu Persib menjadi juara Liga 1 Indonesia pada kempen 2024/2025 dan 2023/2024. — Agensi

Pertemuan dengan Selangor dijangka lebih menarik kerana Hodak pernah membimbing beberapa pemain utama Red Giants itu sepanjang karier mereka sama ada di peringkat kelab bersama KL City dan Johor Darul Ta’zim (JDT), mahupun ketika skuad kebangsaan bawah 19 tahun Malaysia.

Selain Hodak, pemain tengah Argentina Persib iaitu Luciano Guaycochea juga mempunyai kelebihan apabila pernah menjadi kapten Perak dan memiliki pengalaman luas menentang kelab-kelab Lembah Klang. 

Pada masa sama, Selangor turut bakal bertemu semula dengan bekas kapten mereka iaitu Safuwan Baharuddin, yang kini beraksi bersama Lions City secara pinjaman. — The Star/T. AVINESHWARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebookInstagramWhatsApp Channel dan Telegram