Pelantikan CEO TFC: Pengaruh saja tak cukup, cabang bola sepak berbeza — Pemerhati


  • Podium
  • Ahad, 17 Ogos 2025

Pelantikan Sheikh Farouk sebagai CEO diharap dapat memperkukuh penswastaan dan profesionalisme Sang Penyu. — Facebook/TFC

PELANTIKAN Sheikh Farouk Sheikh Mohamad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Terengganu FC (TFC) disambut dengan pandangan terbuka oleh pemerhati sukan tanah air, Afiq Rowley, yang menyifatkan langkah itu sebagai wajar namun bukan tanpa cabaran.

Menurut Afiq, meskipun Sheikh Farouk tidak datang dari latar belakang bola sepak, pelantikannya tetap boleh diterima sekiranya beliau mempunyai kredibiliti dan kemampuan untuk mengurus serta memimpin kelab secara profesional.

"Pada saya, ia wajar jika beliau berkaliber di posisi tersebut. Mana tahu, dengan pengaruhnya, beliau boleh menarik syarikat korporat untuk menaja Terengganu," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] Dua kali ‘petik’ pakai lutut, Sultan Pahang tunjuk skil main sepak takraw bersama rakyat di Pulau Tioman

BACA LAGI: [VIDEO] Bagaikan mimpi ngeri, 3 'musuh lama' menanti JDT untuk rebah

Tambahnya, latar belakang Sheikh Farouk sebagai bekas Pengarah Urusan AEON Big mampu memberikan nilai tambah kepada struktur pengurusan TFC.

"Pengalaman daripada segi pengurusan pasukan lebih profesional mampu dirasai Sang Penyu. Latar belakang beliau positif untuk cuba bawa Sang Penyu ke suatu tahap baharu," ujarnya.

Sheikh Farouk Sheikh Mohamad sah menggalas peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC. Facebook/TFC

Namun begitu, Afiq mengingatkan bahawa pengalaman dalam dunia korporat semata-mata tidak mencukupi untuk memahami keseluruhan keperluan teknikal dan operasi sesebuah pasukan bola sepak profesional.

"Kita harap beliau akan dibantu oleh beberapa individu lain yang berpengalaman dalam bola sepak untuk memacu pasukan," tambahnya. 

Dari sudut kewangan, Afiq optimis pelantikan itu boleh membantu Sang Penyu mencari penajaan dan pelabur baharu.

"Beliau memiliki pengaruh yang baik bersama rakan-rakan korporat lain. Pastinya ia ditagih untuk membawa nafas baharu buat kewangan Terengganu," ujarnya. 

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa dalam dunia bola sepak tidak boleh digerakkan hanya dengan nama besar atau kekuatan dana.

"Cabang bola sepak ini berbeza. Bukan hanya berpaksikan nama dan kekuatan kewangan sahaja.

"Seperti saya katakan, Sheikh Farouk perlukan pembantu dan tenaga kerja berpengalaman untuk membantunya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram