[VIDEO] Tak sangka, tonggak tengah JDT rupanya ‘cikgu’ Bahasa Melayu Fergus Tierney


  • Podium
  • Khamis, 14 Ogos 2025

TIerney kini menyertai Sabah secara pinjaman selama semusim daripada JDT. — Facebook/SabahFC

 

 

RAHSIA penyerang pinjaman Sabah FC, Fergus Tierney fasih berbahasa Melayu akhirnya terbongkar apabila dia mendedahkan individu yang banyak membantunya menguasai bahasa itu ketika bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II).

Pemain berusia 22 tahun itu membuat pendedahan secara santai dalam rancangan Arena Bola, sambil mencabar panel penganalisis program itu untuk meneka siapakah guru Bahasa Melayunya di bilik persalinan JDT II.

“Kepada semua penganalisis di studio, cuba teka siapa yang ajar saya Bahasa Melayu di bilik persalinan JDT II,” kata berdarah Scotland-Malaysia tersebut sambil tersenyum.

BACA LAGI: Dilabel sebagai 'good signing', Fergus Tierney miliki kemampuan ganti Saddil Ramdani

BACA LAGI: Bukan saja Fergus Tierney, 3 'superstar' juga kagum saksikan sendiri mutu fasiliti JDT

Teka-teki berkenaan pada awalnya dijawab secara berseloroh oleh bekas penjaga gol Harimau Selatan iaitu Farizal Marlias, yang menamakan bekas pemain Sri Pahang FC iaitu Mohamadou Sumareh.

Namun selepas menerima petunjuk daripada moderator rancangan itu, Keeshaanan Sundaresan, bekas penjaga gol kebangsaan iaitu Azmin Azram Abd Aziz tepat meneka nama kapten JDT II, Aysar Hadi Mohd Shapri.

Tierney kemudian mengesahkan bahawa pemain tengah itu banyak mengajarnya Bahasa Melayu ketika mereka beraksi bersama di JDT II dengan kedua-duanya turut pernah bergandingan dalam skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23).

Penyerang muda itu kini menyertai Sabah secara pinjaman selama semusim daripada JDT dan melakukan penampilan sulung bersama Sang Badak pada aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC pada 13 Ogos lalu, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Untuk rekod, pada musim lalu menyaksikan Tierney berkelana secara pinjaman ke Thailand bersama kelab Chonburi dan Nakhon Pathom sebelum kembali ke pangkuan pasukan asalnya iaitu Harimau Selatan.

Sepanjang di Thailand, pemain kelahiran Akademi Soccer Experience FC itu merekodkan 25 penampilan bersama Chonburi dan Nakhon Pathom serta berjaya meledak empat gol dengan tiga daripadanya bersama The King Tigers. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram