
PEMAIN import Penang FC, Dylan Wenzel-Halls mengakui marah dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil yang membatalkan jaringannya semasa bertemu Melaka FC pada saingan Piala FA.
Dalam aksi yang diadakan di Stadium Hang Jebat, Melaka itu, pemain dari Australia tersebut menjaringkan gol pada separuh masa pertama selepas menerima hantaran Danilo Sipovac.
Akan tetapi, jaringan cantiknya itu dibatalkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas mendapati terdapat kekasaran terhadap pemain Melaka, Nizaruddin Jazi oleh Sipovac.
BACA LAGI: Bezanya Pak Ngah-Kipre, waima bersama kelab sekarang mahupun terdahulu
BACA LAGI: Pelantikan CEO TFC: Pengaruh saja tak cukup, cabang bola sepak berbeza — Pemerhati
Wenzel-Halls (kiri) menjaringkan dua gol menentang Melaka.
Kecewa dan berang dengan keputusan pengadil itu, Wenzel-Halls kemudiannya membantah lalu dikenakan kad kuning.
Akan tetapi, dia tidak membiarkan kemarahan itu terus menganggu permainannya, sebaliknya pemain tersebut menjadikan ia pembakar semangat untuk menjaringkan gol.
Hasilnya, Wenzel-Halls berjaya menyumbat dua gol pada separuh masa kedua.
"Saya seorang pemain yang suka memberikan segalanya. Apabila melangkah masuk ke padang, saya seorang pesaing.
"Walaupun VAR membatalkan gol pertama, saya katakan pada diri sendiri untuk sabar dan terus bertenang. Saya tahu saya kena teruskan tugas dan bersyukur saya berjaya mengambil peluang yang ada," ujar Wenzel-Halls.
Ketika perlawanan, Wenzel-Halls sempat mengajuk isyarat VAR oleh pengadil semasa meraikan gol pertamanya yang sah pada minit ke-48.
Bagi Wenzel-Halls, kemenangan tersebut sangat penting buat Penang kerana mereka amat terdesak mahukan keputusan positif.
"Semestinya ia sangat beremosi. Kami amat mahukan kemenangan pertama kami, kami bekerja sangat keras semasa pra-musim dan semasa aksi liga, cuma kami tidak memperoleh keputusan dimahukan.
"Untuk mendengar wisel penamat pada hujung permainan dan berjaya juga menang, ia sangat istimewa," ujarnya. — The Star/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram