Bezanya Pak Ngah-Kipre, waima bersama kelab sekarang mahupun terdahulu


  • Podium
  • Isnin, 18 Ogos 2025

Pak Ngah membuktikan ketajamannya dengan menjaringkan tiga gol dalam hanya dua perlawanan bersama The Cats.— Facebook/Kuchingcityfc

TANPA menunggu lama, peminat fanatik Kuching City sudah mula membandingkan kredibiliti penyerang import semasa, Ronald Ngah Wanja dan bekas tonggak Tchetche Kipre.

Meskipun memiliki gaya permainan berbeza, masing-masing pernah membawa impak tersendiri kepada The Cats ketika menyarung jersi kelab berpangkalan di Borneo itu.

Ronald Ngah atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Ngah cukup terkenal dengan ketajamannya di hadapan gol.

Pada Liga Super musim 2022, penyerang kelahiran Cameroon itu menjaringkan 13 gol dan mencatat dua bantuan jaringan dalam 21 penampilan bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC), menjadikannya penjaring terbanyak pasukan itu musim tersebut.

BACA LAGI: Pelantikan CEO TFC: Pengaruh saja tak cukup, cabang bola sepak berbeza — Pemerhati

BACA LAGI: [VIDEO] Dua kali ‘petik’ pakai lutut, Sultan Pahang tunjuk skil main sepak takraw bersama rakyat di Pulau Tioman

Pengalaman luas Pak Ngah yang pernah beraksi di beberapa kelab luar negara, termasuk di pentas Asia menjadikannya seorang penyerang matang yang mampu membaca permainan dengan baik.

Keistimewaan itu memberi kelebihan tersendiri berbanding penyerang tempatan lain yang kurang pendedahan antarabangsa.

Lebih menarik, Pak Ngah mempunyai hubungan baik dengan jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak kerana sebelum ini pernah bergandingan ketika di KDA FC.

Pak Ngah (depan) telah menjaringkan tiga gol dalam hanya dua perlawanan Liga Malaysia 2025/2026 setakat ini. Facebook/Kuchingcityfc

Gandingan semula Aidil Sharin-Pak Ngah di Kuching City musim ini menyaksikan keserasian yang jelas dalam corak permainan, hasilnya, Pak Ngah telah menjaringkan tiga gol dalam hanya dua perlawanan Liga Malaysia 2025/2026 setakat ini.

Sebaliknya, bekas penyerang Kuching City, Tchetche Kipre yang kini bersama Penang FC, masih belum menemui sentuhan jaringan musim ini.

Ketika bersama The Cats, Kipre mencatat lima gol dan tujuh bantuan jaringan dalam 25 perlawanan, satu rekod yang kini mula dikejar Pak Ngah.

Kipre pula terkenal dengan kelajuan dan kekuatan fizikal, menjadikan larian pantas sebagai senjata utama untuk menembusi pertahanan lawan.

Namun, berbanding Ngah yang lebih lengkap dari aspek teknik dan penyudah, Kipre bergantung kepada sokongan rakan sepasukan untuk mencipta ruang dan peluang.

Kipre (kanan) setakat ini belum mencetak sebarang gol buat Penang FC. — Facebook/Penangfc

Meskipun dahulu kerap diangkat sebagai pemain yang dapat mencipta selain menyudahkan peluang, Kipre yang semakin berusia kini hanya boleh menggalas salah satu tugas itu dalam satu-satu masa.

Kekurangan hantaran berkualiti daripada rakan sepasukan membuatkan penyerang dari Ivory Coast itu masih menunggu untuk mencetak jaringan pertama.

Ngah Wanja juga tidaklah begitu prolifik dari segi ciptaan umpanan, namun dia bernasib baik kerana memiliki rakan sepasukan yang mahir dalam hal itu seperti Ramadhan Saifullah, Joao Pedro serta Petrus Shitembi.

Kipre pula tidak memiliki bantuan sebegitu kerana dia masih belum dapat mencipta keserasian dengan muka-muka baharu Penang FC seperti Bruno Suzuki, Wan Zack Haikal serta Dylan Wenzel-Halls.

Kedua-dua penyerang itu mencerminkan pendekatan berbeza dalam menyerang, satu berasaskan teknik dan taktikal, satu lagi berlandaskan kelajuan dan kuasa, namun masing-masing tetap menyumbang warna dan nilai kepada pasukan yang pernah mereka wakili. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram