
PROSPEK bola sepak negara, Ibrahim Manusi mengambil langkah berani dalam kariernya apabila menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) berikutan masa depan Sri Pahang FC yang semakin kelam ketika ini.
Anak jati Paya Jaras, Selangor tersebut diumumkan sebagai rekrut ketiga skuad Harimau Selatan bagi jendela perpindahan kali ini selepas turut mengalu-alukan kehadiran Cristian Glauder dan Jairo da Silva.
Bagaimanapun, tumpuan orang ramai pasti diberikan terhadap kehadiran Ibrahim kerana dia merupakan satu-satunya bintang lokal dibawa masuk setakat ini dengan usianya juga masih muda.
BACA LAGI: Ketiadaan KL City FC, KDA FC buat Liga M hambar, rencat perancangan bola sepak
BACA LAGI: 'Hentikan sumpahan!', legenda Selangor mahu Gergasi Merah ikat kapten Thailand
Ibrahim (kiri) memilih untuk menyertai JDT selepas masa depan skuad Tok Gajah yang tidak diputuskan setakat ini.
Bakat dimiliki pemain tengah itu sememangnya menjadi buah mulut peminat, lebih-lebih lagi selepas perlawanan akhir Piala Malaysia 2024/25 apabila dia mudah mematahkan pergerakan JDT.
Selain itu, sepanjang beraksi buat skuad Tok Gajah, Ibrahim yang turut dikenali sebagai Baim mempamerkan aksi konsisten sehingga menerima pujian ketua jurulatih, Fandi Ahmad.
Kebolehannya itu dijangka terus meningkat memandangkan dia akan menyertai sesi latihan dengan kelengkapan bertaraf dunia di bawah bimbingan barisan kejurulatihan berpengalaman.
Namun, terselit sedikit kegusaran dalam kalangan peminat bola sepak tanah air kerana masing-masing khuatir bakatnya akan terpadam sekiranya tidak dapat meraih minit permainan secara kerap.
Pandangan sama turut dikongsikan bekas pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri yang beranggapan Ibrahim perlu bersedia dengan persaingan hebat dalam pasukan seperti mana diketahui ramai.
Asmawi tahu Ibrahim menyedari kesukaran bakal ditempuhi selepas menyertai JDT.
"Pada saya, dengan kelabnya sebelum ini sudah tidak lagi bersaing, keputusannya untuk ke sana adalah sesuatu yang bagus kerana dia berada dalam kelab terbaik dari segi fasiliti dan latihan.
"Cuma, apa yang perlu dia buat selepas menyertai JDT adalah mengenai perebutan tempat memandangkan dia perlu bersaing dengan pemain sedia ada," katanya kepada Majoriti.
Ibrahim menjadi pemain terbaru meninggalkan skuad Tok Gajah selepas timbul kemungkinan pasukan itu tidak akan berada dalam Liga Super meskipun menerima lesen kebangsaan.
Bagaimanapun, sekiranya dibandingkan dengan rakan sepasukannya yang lain, pemain berusia 23 tahun tersebut merupakan yang paling bertuah kerana diberi peluang menyertai JDT.
Mengulas lanjut, Asmawi yang pernah mewakili pelbagai kelab tempatan turut berpandangan menyertai kelab lain secara pinjaman merupakan antara pilihan terbaik buat Ibrahim sekiranya sukar meraih peluang.
Fasiliti serba lengkap merupakan manfaat utama selepas Ibrahim menyertai skuad Harimau Selatan.
"Jika dia boleh menempatkan diri dalam kesebelasan utama mahupun pasukan sekali pun, dia perlu diminta dipinjamkan keluar kerana pada saya, pada usia begitu, dia perlu berada dalam skuad yang boleh memberinya minit permainan.
"Dia tidak boleh terus menunggu kerana ia akan merencatkan usahanya bertambah baik kerana tidak dapat beraksi. Apabila dia tidak beraksi, ia merupakan satu kerugian. Jadi, andai kata tidak dapat tempat walaupun sudah bersaing, dia boleh meminta menyertai mana-mana pasukan," katanya.
Musim lalu, JDT sudah meminjamkan ramai pemain ke kelab-kelab Liga Super, seperti Azam Azmi Murad ke Terengganu FC sementara Ryan dan Declan Lambert memilih ke Kuala Lumpur (KL) City FC.
Perpindahan sedemikian memberi keuntungan kepada semua pihak kerana bintang pinjaman skuad Harimau Selatan dapat meraih minit permainan sementara kelab yang menerima kehadiran mereka dapat menikmati kehadiran pemain berkualiti tinggi.
Jadi, sekiranya Ibrahim sukar merebut tempat dalam pasukan, tidak mustahil sekiranya pihak pengurusan JDT akan meminjamkan pemain tersebut ke mana-mana destinasi bersesuaian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram