
TAKHTA Liga Super 2025/26 dijangka terus kekal di Selatan tanah air memandangkan Johor Darul Ta'zim (JDT) lengkap melakukan persiapan dari segi kemasukan pemain dan semua aksi pramusim.
Jadi, tumpuan sudah tentu dialihkan kepada siapakah pasukan akan muncul naib juara kerana kedudukan itu sudah cukup untuk meraih slot automatik ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan.
Pilihan utama sudah tentu memihak kepada Selangor FC yang menamatkan kempen Liga Super di tangga kedua untuk dua musim berturut-turut, sekali gus membolehkan mereka menunjukkan taring di pentas Asia.
BACA LAGI: Badrul Afzan: Usah khuatir barisan depan TFC hilang sengat
BACA LAGI: Sentuhan Badrul Afzan terus ditagih, kekal kemudi skuad Peteh musim depan
Skuad Gergasi Merah dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kedudukan di tangga kedua Liga Super. — Facebook/Selangor FC
Melihat kepada aktiviti perpindahan sepanjang jendela lalu, skuad Gergasi Merah membuktikan kesungguhan dengan membawa masuk lima import baharu yang masing-masing mempunyai reputasi baik di luar negara.
Namun, anak-anak buah Katsuhito Kinoshi tidak boleh berasa terlalu selesa kerana terdapat barisan pencabar yang juga mahu merebut kedudukan dua teratas bagi saingan Liga Super akan datang.
Terengganu FC yang turut berbelanja besar dengan melakukan rombakan terhadap import pasukan juga tidak boleh dipandang remeh meskipun ramai pihak tidak melabel mereka sebagai pencabar utama.
Bagaimanapun, melihat kepada tiga aspek utama skuad Sang Penyu, terdapat tiga sebab untuk penyokong percaya kelab itu berpeluang merebut tangga dua teratas daripada mana-mana pasukan lain, termasuk Selangor FC.
1. Musim penuh Badrul Afzan
Kehadiran Badrul Afzan Razali yang menggantikan Tomislav Steinbruckner pada pertengahan musim 2024/25 tidak membawa sebarang perubahan positif memandangkan skuad Sang Penyu gagal menampilkan prestasi terbaik.
Meskipun ramai menunding jari ke arah jurulatih muda tersebut, dia tidak boleh dipersalahkan 100 peratus kerana ia merupakan cabaran pertamanya dalam dunia kejurulatihan selepas bertahun-tahun hanya bergelar pembantu.
Namun, bagi kempen akan datang, Badrul Afzan lebih bersedia memandangkan dia diberi pilihan penuh untuk membawa masuk pemain dimahukannya pada jendela perpindahan kali ini.
Badrul Afzan diberi tempoh lebih panjang untuk mempersiapkan pasukan. — Facebook/Terengganu FC
Peluang besar itu dimanfaatkan dengan baik apabila skuad Sang Penyu mengalu-alukan kehadiran tujuh rekrut baharu dengan lima daripadanya ialah pemain import berkualiti tinggi.
Tidak cukup dengan itu, Badrul Afzan turut diberikan masa terbaik untuk mempersiapkan pasukan sepanjang tempoh pramusim dengan beberapa aksi persahabatan sudah diadakan.
Sekiranya momentum tersebut diteruskan, jurulatih berusia 49 tahun itu berpeluang memberi cabaran terhadap Selangor FC atau mana-mana pasukan yang mahu merebut tangga kedua Liga Super.
2. Tiada tekanan saingan peringkat benua
Terengganu FC meraih manfaat besar untuk dua musim berturut-turut apabila mereka beraksi di pentas Asia, iaitu dalam Piala AFC 2023 sebelum memperoleh slot ke Piala Shopee 2024/25.
Namun, tamparan hebat dirasakan skuad Sang Penyu dalam kedua-dua kejohanan terbabit kerana mereka gagal melepasi peringkat kumpulan selepas mensia-siakan setiap peluang keemasan.
Skuad Sang Penyu dikecewakan di pentas Piala Shopee 2024/25 selepas gagal melepasi peringkat kumpulan. — Facebook/Terengganu FC
Situasi berbeza bakal disaksikan musim ini kerana Terengganu FC berpeluang memberi tumpuan penuh ke pertandingan peringkat domestik, terutamanya dalam saingan Liga Super.
Meskipun tidak dapat meraih kelebihan dari segi pendedahan pasukan di peringkat antarabangsa, ia seakan-akan rahmat besar buat pasukan tersebut yang mahu sebahagian besar pemain kekal cergas sepanjang kempen.
Kejayaan melangkah ke pentas akhir Piala FA atau Piala Malaysia boleh dianggap bonus buat skuad bimbingan Badrul Afzan yang sudah tentu melihat pencapaian itu sebagai tiket automatik ke ACL Two 2026/27.
3. Import lebih cergas
Seperti dinyatakan di atas, Terengganu FC turut membuat pelaburan besar pada jendela perpindahan kali ini selepas membawa masuk tujuh pemain baharu bagi menghadapi kempen akan datang.
Kesemua pemain tersebut sudah diberi peluang berada dalam pasukan sepanjang tempoh pramusim dengan sebahagian besar seperti Yann Mabella serta Careca sudah mempamerkan kebolehan.
Careca membuktikan dirinya sudah bersedia untuk membantu skuad Sang Penyu dalam Liga Super 2025/26. — Facebook/Terengganu FC
Ini merupakan amaran awal daripada skuad Sang Penyu kepada pencabar lain dalam Liga Super kerana ia secara langsung membuktikan mereka cukup bersedia berbanding musim lalu.
Hal tersebut memandangkan sesetengah tonggak Terengganu FC bergelut dengan isu kecergasan sepanjang musim 2024/25 seperti Ivan Mamut dan Matthew Steenvoorden yang tidak dilihat impak dibawa mereka.
Jadi, dengan import Sang Penyu lebih bersedia kali ini, mereka diharapkan mampu mengembalikan pasukan Pantai Timur itu ke pentas Asia meskipun tahu cabaran musim ini lebih getir. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram