[VIDEO] Libasan 'double' Noraizat, Kritsada antara momen epik iringi Perak Bison ke semi final GP Perak


  • Podium
  • Jumaat, 15 Ogos 2025

Pertembungan epik ditonjolkan kedua-dua pasukan dalam aksi yang berlangsung pada Jumaat. — Facebook/STL

PERTEMBUNGAN epik disaksikan peminat Liga Sepak Taraw (STL) di peringkat Kumpulan C grand prix (GP) Perak apabila pasukan tuan rumah bertungkus lumus untuk melepasi ujian Selangor Pistons.

Dalam perlawanan yang berlangsung pada Jumaat, Perak Bison memulakan pertembungan dengan gandingan terbaik iaitu Aidil Aiman, Noraizat Nordin serta Kritsada Sungvung.

Pendekatan sama turut diambil pihak lawan yang meletakkan kepercayaan penuh kepada Ariff Daniel Aripin, Arif Badri serta Zuhri Zain untuk memberi cabaran.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari Selatan ke Utara, tekong berbisa negara hargai keberanian, kepercayaan Perak Bison

BACA LAGI: Tersingkir dari STL Champions Cup, fans Perak Bison mula rindui tekong import musim lalu

Bagaimanapun, Selangor Pistons masih perlu mengakui kualiti Perak Bison yang beraksi cemerlang di hadapan ratusan penyokong sendiri di Stadium Indera Mulia, Perak.

Set pertama menyaksikan Perak Bison berjaya menundukkan lawan mereka itu dalam pertembungan sengit yang berakhir dengan keputusan 15-13 yang sememangnya menyuntik semangat kepada anak-anak buah Dzafril Anuar.

Dalam set kedua, Selangor Pistons mula goyah dan sedikit tertekan dengan kehadiran penyokong sehingga menyaksikan mereka tewas 11-15, sekali gus menyaksikan Perak Bison melangkah ke separuh akhir.

Perlawanan tersebut turut dihiasi pelbagai momen epik, termasuk perebutan antara Kritsada dan Noraizat pada set pertama ketika kedua-dua pemain itu cuba melibas bola.

Pemerhatian lebih teliti mendapati bola terkena Noraizat yang membuktikan pertembungan kedua-dua gergasi sukan sepak takraw negara itu sememangnya tidak boleh dilepaskan.

Sebuah lagi detik mencemaskan dapat disaksikan apabila Aidil dapat melakukan tampanan minit akhir untuk memastikan Selangor Pistons gagal memperoleh mata.

Halangan pantas dilakukan itu kemudian disusuli dengan umpanan buat Noraizat yang berjaya membuat gulungan deras untuk menghadiahkan mata penting buat Perak Bison.

Kemenangan itu menyaksikan Perak Bison muncul juara Kumpulan C, sekali gus membolehkan mereka ke peringkat separuh akhir dengan mereka akan berdepan Kuala Lumpur Thunders. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram