
DALAM dunia bola sepak profesional, perpindahan pemain dari satu kelab ke kelab lain adalah lumrah.
Namun, hakikatnya meninggalkan kelab lama, lebih-lebih lagi yang telah lama menjadi ‘rumah kedua’, bukanlah sesuatu yang mudah bagi mana-mana pemain.
Bagi sesetengah pemain, kelab yang ditinggalkan bukan sekadar tempat bermain, malah menyimpan seribu satu kenangan manis bersama rakan sepasukan, jurulatih, pegawai kelab dan terutama sekali para penyokong.
BACA LAGI: Natxo Insa muncul 'kuda tertua' Liga Super, ada ex 'teammate' sudah berubah angin
Meskipun perpindahan berlaku atas pelbagai sebab sama ada keputusan teknikal, hala tuju kelab atau demi cabaran baharu, rasa rindu terhadap kelab lama sering kali tetap terpahat dalam hati pemain.
Menyedari hakikat itu, Majoriti menyenaraikan kisah dua bintang senior Liga Super yang dilihat masih menyimpan kerinduan terhadap kelab lama mereka, biarpun kini telah menyarung jersi pasukan baharu.
1. Park Tae-su
Pemergian bekas tonggak pertahanan Sabah FC, Park Tae-su nyata meninggalkan kesan yang mendalam dalam kalangan penyokong setia Sang Badak, selepas kelab itu memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya bagi musim 2025/2026.
Keputusan pihak pengurusan Sabah FC itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong, yang menganggap pemain kelahiran Korea Selatan itu masih mampu menyumbang dan sepatutnya dikekalkan.
Tae-su yang juga mesra disapa sebagai Ketua Kampung Likas itu mula menyertai Sabah FC pada 2019.
Sepanjang enam musim bersama pasukan, beliau mencatat 106 penampilan, menjaringkan 20 gol dan merekodkan sembilan bantuan jaringan, satu pencapaian luar biasa bagi seorang pemain pertahanan.
Kini, Tae-su membuka lembaran baharu dalam kariernya bersama PDRM FC.
Tangkap layar Insta Story Park Tae-su.
Lebih manis, beliau terus mencuri perhatian dalam penampilan sulungnya bersama skuad kendalian Eddy Gapil apabila meledak dua gol untuk membantu The Cops bangkit mengikat Brunei DPMM FC 2-2 di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu.
Namun, di sebalik aksi cemerlang itu, jelas bahawa hati Tae-su masih belum melupakan pasukan lamanya.
Menerusi satu hantaran di Insta Story, Tae-su mengucapkan penghargaan kepada penyokong Sabah FC yang hadir memberi sokongan kepadanya di Selayang.
“Terima kasih atas semua sokongan, terutamanya Sabahan. I love all Sabahan,” tulis Tae-su.
Perkongsian tersebut mengundang reaksi emosi daripada penyokong Sabah, yang menganggap Tae-su masih ‘berjiwa Badak’ meskipun kini sudah menyarung jersi pasukan lain.
2. Wan Zack Haikal Wan Noor
Bekas tonggak Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor menjadi antara pemain terawal meninggalkan kelab berkenaan selepas memilih untuk berhijrah ke Penang FC susulan kemelut pengurusan dan kewangan yang melanda pasukan dari utara tanah air itu.
Perak FC yang berdepan pelbagai isu sepanjang musim lalu akhirnya gagal memperoleh lesen pertandingan, sekali gus tidak dapat beraksi dalam sebarang kempen domestik musim ini, menoktahkan sementara perjalanan mereka dalam arena bola sepak profesional tanah air.
Wan Zack menyertai skuad The Bos Gaurus (TBG) sejak musim Liga Perdana 2022 dan kekal bersama mereka selama tiga musim.
Sepanjang tempoh itu, beliau bukan sahaja menjadi pemain utama tetapi turut berperanan sebagai mentor kepada barisan pemain muda, malah pernah diberi kepercayaan menyandang tugas kapten pasukan.
Namun, meskipun kini bersama kelab yang lebih stabil dari segi struktur dan pengurusan, pemain berpengalaman itu tidak menafikan rasa rindu terhadap Perak FC masih membekas dalam dirinya.
Menerusi satu hantaran video di laman TikTok peribadinya, Wan Zack meluahkan perasaan sayang dan terima kasih terhadap rakan-rakan sepasukannya di Ipoh.
“Assalamualaikum, jujur saya rindu abang-abang dan sahabat saya di Ipoh. Semakin bertambah rasa kasih dan cinta persahabatan saya kepada anda semua walaupun sekarang kita berada di lain tempat.
“Kalian semua sangat baik dan sentiasa dalam fikiran saya, cuma jarang kita berhubung. Terima kasih hadir dalam cerita saya dan saya sayang kalian semua,” tulisnya.
Luahan tersebut turut mendapat reaksi positif daripada para penyokong dan bekas rakan sepasukan yang menghargai sumbangan serta jiwa besar dimiliki oleh pemain berprofil tinggi itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram