
PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad sah menyertai DPMM FC bagi membantu kelab Brunei berkenaan menghadapi saingan Liga Super yang akan membuka tirai pada Ogos ini.
Khabar gembira untuk pasukan baharu Liga Super itu diumumkan laman sesawang rasmi kelab pada Khamis dengan penyerang berusia 30 tahun berkenaan akan menjadi tonggak bahagian serangan.
BACA LAGI: Jangan tunggu lama-lama, 3 khabar angin termasuk Syafiq Ahmad masih belum dimuktamadkan
BACA LAGI: 'Next STL', Syafiq Ahmad sasar jadi pemain takraw lepas tinggalkan Kedah?
"Syafiq Ahmad, pemain JDT FC telah membuat keputusan untuk menyertai DPMM FC bagi saingan Liga Malaysia musim akan datang. Pemain JDT itu sebelum ini dipinjamkan selama setahun kepada Kedah Darul Aman pada musim lalu.
"Sepanjang musim tersebut, Syafiq telah bermain dalam 11 perlawanan untuk kelab itu dan telah dua kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan pada tahun 2024," kongsi DPMM FC dalam satu kenyataan.
Sepanjang menyarung jersi Sang Kenari pada musim 2024/2025, Syafiq sempat menyumbang dua gol dan satu bantuan gol dalam 15 penampilan sebelum dia terpaksa berehat akibat kecederaan dialami semasa kempen Piala AFF.
Untuk rekod, Syafiq menjadi pemain Malaysia terbaharu yang memilih untuk mengembangkan karier di luar negara bersama DPMM FC.
Syafiq sukar mendapat minit permainan bersama skuad Harimau Selatan.
Sebelum ini, dua lagi pemain negara iaitu bekas bek Penang FC, Fairuz Zakaria dan Tommy Mawat Bada yang sebelum ini bersama Perak FC turut mengambil langkah serupa dengan menyertai kelab berpangkalan di Brunei itu.
Sebagai bekas penyerang utama KDA FC, Syafiq dijangka akan bersaing hebat dengan penyerang sensasi Indonesia, Ramadhan Sananta bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama DPMM di posisi penyerang.
Bagaimanapun, status Syafiq ke DPMM sama ada sebagai pemain tetap mahupun pinjaman masih belum dijelaskan kelab tersebut dengan majikannya, JDT juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram