
BEKAS penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad menjadi taruhan pendatang baharu Liga Super, DPMM FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan ringkas di laman rasmi DPMM FC, sekali gus mengesahkan desas-desus perpindahan yang sebelum ini berlegar di media sosial.
Penyerang berusia 30 itu sebelum ini dipinjamkan ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi musim lalu dan mencatatkan 15 penampilan termasuk dua gol serta satu bantuan jaringan sepanjang kempen tersebut.
BACA LAGI: 'Beza bagai langit dan bumi', sukarnya Top 5 Liga Super 'baham' kelab bawahan luar negara
BACA LAGI: Pastikan lawan berkualiti di Pestabola Merdeka, bukan sekadar ranking lebih rendah
DPMM FC serius bersaing di Liga Super dengan kehadiran bintang Indonesia, Ramadhan. — Facebook/DPMM FC
Perpindahan ke DPMM FC dilihat sebagai peluang terbaik buat Syafiq untuk menyuntik nafas baharu dalam kariernya, selepas pernah membantu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan KDA FC menjulang pelbagai trofi di pentas domestik.
Bagaimanapun, status perpindahan sama ada secara tetap atau pinjaman masih belum diumumkan oleh DPMM FC, manakala JDT juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenainya.
Langkah ke Brunei menjadikan Syafiq sebagai pemain Malaysia terbaharu yang mengikut jejak langkah pemain lain seperti Fairuz Zakaria dan Tommy Mawat Bada yang terlebih dahulu menyarung jersi DPMM.
Namun begitu, kehadiran Syafiq bakal menyaksikan saingan sengit untuk merebut tempat sebagai 'target man' utama, memandangkan skuad kendalian DPMM musim depan turut diperkuatkan dengan bintang kebangsaan Indonesia, Ramadhan Sananta.
Penyerang berketinggian 1.75 meter itu dijangka berdepan beberapa cabaran besar dalam usahanya merebut tempat dalam kesebelasan utama kelab Brunei itu.
1. Persaingan sengit di posisi penyerang
Salah satu halangan utama buat Syafiq ialah kehadiran penyerang muda sensasi Indonesia, Ramadhan.
Pada usia 23, Ramadhan sudah mengukir nama di pentas antarabangsa, antaranya dengan dua gol penting dalam aksi final Sukan Sea 2023 menentang Thailand, yang menyaksikan Indonesia muncul juara dengan kemenangan 5-2.
Selain itu, penyerang berketinggian 1.82 meter itu turut menjaringkan gol ketika menewaskan Vietnam 3-0 dalam Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026, membuktikan ketajamannya di peringkat senior bersama skuad Garuda.
Ramadhan antara watak utama serangan DPMM FC musim 2025/2026. — Facebook/DPMM FC
Sebaliknya, Syafiq tampil sebanyak 15 kali bersama Kedah Darul Aman FC musim lalu, namun hanya menyumbang dua gol dan satu bantuan jaringan.
Malah, dalam tiga penampilan bersama skuad kebangsaan musim lalu, tiada jaringan berjaya dicatatkan memberi gambaran bahawa beliau perlu bekerja lebih keras untuk menyaingi keupayaan Ramadhan yang kini berada di kemuncak prestasi.
2. Faktor umur
Pada usia 30, Syafiq kini berada dalam fasa kerjaya yang sering menyaksikan penyerang mula kehilangan aspek fizikal penting seperti kepantasan, ketahanan dan kadar pemulihan kecederaan.
Sebaliknya, Ramadhan yang masih muda memiliki kelebihan dari segi fizikal dan kecergasan serta berpotensi untuk terus berkembang sebagai tonggak utama pasukan dalam jangka masa panjang.
Syafiq Ahmad akan bersaing dengan bintang muda Indonesia, Ramadhan untuk merebut tempat di posisi penyerang. — Instagram/syafiq_ahmad20
Jurulatih DPMM FC, James McAllister pasti akan mengambil kira faktor usia dan tahap kecergasan dalam membuat penilaian terhadap barisan serangan pasukannya.
Tidak mustahil beliau akan memberikan keutamaan kepada pemain muda yang memiliki potensi jangka panjang berbanding pemain senior seperti Syafiq yang pernah berdepan isu kecederaan.
3. Tekanan prestasi
Sebagai bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan pemain kebangsaan Malaysia, Syafiq membawa bersamanya reputasi besar serta jangkaan tinggi daripada penyokong dan pihak pengurusan.
Jika gagal menjaringkan gol atau memberi impak segera, kritikan akan mudah dilemparkan terutama jika dibandingkan dengan pemain muda seperti Ramadhan yang dianggap sebagai masa depan pasukan.
Lebih mencabar, prestasinya bersama JDT dan KDA FC dalam beberapa musim kebelakangan ini dilihat semakin merosot, dengan minit permainan yang terhad serta ketiadaan konsistensi dalam penyudah.
Pada usia muda, Ramadhan dijangka mampu mengemudi jentera serangan DPMM FC. — Facebook/DPMM FC
Sebaliknya, Ramadhan hadir sebagai bakat muda istimewa yang dianggap masa depan bola sepak Indonesia.
Sekiranya Ramadhan terus mengekalkan prestasi semasanya, tekanan terhadap Syafiq dijangka akan semakin meningkat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram