
SELANGOR FC berjaya memenangi perlawanan Liga Super selepas menewaskan DPMM FC 3-0 pada Selasa.
Walaupun menang, masih timbul rasa kurang senang oleh penyokong terhadap penyerang import baharu mereka iaitu Willian Lira.
Lira masih gagal untuk menjaringkan gol untuk Selangor dengan pemain itu turut melepaskan peluang keemasan semasa bertemu DPMM.
BACA LAGI: Cemerlang kawal tengah jumpa JDT, Selangor didesak ambil semula jeneral import dipinjam NSFC
BACA LAGI: Banyak berubah, aura 2024 perlu dihidupkan Selangor FC jika mahu 3 mata berdepan DPMM
Ia jelas menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong yang masih gagal mencari pengganti lebih baik dan situasi sama berulang ketika Lira mewakili Kedah Darul Aman FC sebelum ini.
Bagi salah seorang penyokong Selangor, Danial Mazalan, persembahan Lira bersama Selangor amat merisaukan kerana dia tidak menghadirkan bahaya kepada pihak lawan.
"Secara jujur merisaukan dan meragukan kombinasi perasaan yang tepat menggambarkan perasaan kami sebagai penyokong terhadap Lira sekarang.
"Dia sudah bermain tiga perlawanan menentang Asia Warriors, Johor Darul Ta'zim dan DPMM dan ia sangat mengecewakan. Ketika Lira memegang bola, dia tidak memberikan rasa bahaya pada pihak lawan dan juga penonton yang hadir ke stadium," kata Danial kepada Majoriti.
Walaupun begitu, Danial masih berharap yang Lira masih boleh bangkit hasil tunjuk ajar Katsuhito Kinoshi terutamanya dalam tiga aksi seterusnya.
Selepas ini, Selangor akan berdepan Buriram United dalam Piala Shopee serta Negeri Sembilan FC dan Terengganu FC dalam Liga Super selain Malaysian University (Piala FA).
Bagi Danial, persembahan Lira ketika ini menggambar skrip serupa ditonjolkan Selangor saban musim yang sering gagal membawa penyerang berkualiti untuk mengetuai barisan hadapan Gergasi Merah.
"Apa yang baharu setiap musim untuk Selangor? Tahun berbeza, cerita sama, peminat sudah muak dengan plot penceritaan mereka," ulasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram