'Sama tapi bukan dia', 3 bintang Liga Super kongsi identiti figura terkenal Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Anwar Ibrahim (kiri) merupakan pemain NSFC sementara Anwar Ibrahim (kanan) adalah Perdana Menteri Malaysia.

BOLA sepak Malaysia tidak pernah sunyi dengan pelbagai cerita, ada masanya akan dihimpit dengan kontroversi yang menarik perhatian ramai.

Namun begitu, liga ini turut menyaksikan penyertaan beberapa 'figura' terkenal negara dari kancah politik dan hiburan yang 'bermain' untuk beberapa kelab.

Nama-nama tersebut sering menjadi tumpuan ramai walaupun mungkin karier bola sepak mereka tidaklah sehebat pemain-pemain lain.

BACA LAGI: JDT akan bermasalah tempuh ACLE jika taktikal Xisco Munoz belum sempurna

BACA LAGI: Cemerlang kawal tengah jumpa JDT, Selangor didesak ambil semula jeneral import dipinjam NSFC

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim berkemungkinan merupakan nama yang paling diraikan oleh penyokong bola sepak tempatan setiap kali dia bermain di mana-mana gelanggang.

Mempunyai nama serupa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anwar mula mendapat perhatian ramai apabila menyertai Selangor FC pada 2020 sebelum berpindah ke Kuala Lumpur City FC pada 2021.

Anwar mempunyai nama serupa dengan PM Anwar.

Reputasi Anwar semakin meningkat apabila pada musim 2025/2026, dia berpindah ke Negeri Sembilan di saat Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi tumpuan rakyat Malaysia atas pelbagai perkara.

Musim ini, Anwar sudah melakukan satu penampilan sebagai pemain gantian ketika Negeri Sembilan kalah 3-5 kepada Johor Darul Ta'zim.

Azwan Ali

Satu lagi nama yang begitu sinonim dengan rakyat Malaysia adalah Azwan Ali yang merupakan seorang selebriti dan adik kepada ahli politik, Azmin Ali.

Namun, nama yang sama turut dikongsi oleh pemain Brunei yang beraksi untuk DPMM FC iaitu Azwan Ali Rahman.

Azwan Ali Rahman (kiri) merupakan ikon bola sepak Brunei sementara Azwan Ali (kanan) merupakan selebriti Malaysia.

Azwan merupakan ketua pasukan DPMM dan pernah membawa kelab itu memenangi Piala Singapura sebanyak dua kali semasa mereka beraksi di negara tersebut.

Bersama DPMM musim ini, dia sudah melakukan dua penampilan Liga Super sejak kelab itu kembali ke Liga Malaysia.

Haddy Awang

Nama yang terakhir ini mungkin tidak pernah didengari sebelum ini dalam bola sepak, namun kini anda sudah melaluinya.

Martin Haddy Awang merupakan seorang pemain DPMM yang bermain sebagai pemain pertahanan kanan dan pertahanan kiri.

Haddy Awang (kiri) merupakan pemain bola sepak sementara Hadi Awang (kanan) adalah tokoh politik Malaysia.

Berusia 27 tahun, Haddy masih belum beraksi untuk DPMM di Liga Super musim ini walaupun sudah dua perlawanan.

Diharap jika dia diturunkan selepas ini, penyokong tidak tertukar dengan pemimpin politik, Tan Sri Abdul Hadi Awang pula ya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram