Isu mungkin berbeza, cuma khabarnya JDT lebih awal jadi mangsa ‘scam’ striker Itali berbanding Penang


  • Podium
  • Jumaat, 15 Ogos 2025

Penang FC dan JDT didakwa menjadi mangsa import 'scam'.

 

 

SAINGAN Liga Super baru memasuki dua perlawanan tetapi sudah banyak isu kontroversi berlaku dalam tempoh seminggu divisyen teratas Liga Malaysia (Liga M) itu membuka tirainya sejak 8 Ogos lepas.

Dari insiden atas padang sehingga luar padang, isu membabitkan Penang FC paling menjadi bualan berikutan pasukan Utara tanah air berkenaan didakwa menjadi mangsa 'scam' pemain import.

Bek tengah import dari Malawi, Limbikani Oscar Mzava dilaporkan ditamatkan kontrak oleh Penang FC sebelum sempat membuat penampilan rasmi dalam saingan Liga Super bagi musim 2025/2026.

BACA LAGI: Banyak berubah, aura 2024 perlu dihidupkan Selangor FC jika mahu 3 mata berdepan DPMM

BACA LAGI: Tak umum lagi tapi Penang FC 'kantoikan' skuad Imigresen, Fayadh Zulkifli-Rizal Ghazali antara kelihatan

Difahamkan, keputusan drastik berkenaan berpunca daripada kegagalan pemain berusia 32 tahun tersebut untuk memenuhi kriteria dan standard yang diperlukan di bahagian pertahanan pasukan.

Mzava, yang dibawa masuk bagi memperkukuh benteng pertahanan skuad Harimau Kumbang, hanya sempat beraksi beberapa minit dalam aksi persahabatan pramusim menentang PDRM FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Julai lalu.

Limbikani dikatakan tidak memenuhi kriteria dan standard yang diperlukan Harimau Kumbang. — Facebook/Penangfc

Khabar angin yang bermula daripada hantaran sebuah laman Facebook oleh Karya Orang Kitahhh itu bagaimanapun masih belum mendapat sebarang pengesahan daripada pihak pengurusan skuad Harimau Kumbang.

Namun, selepas dua perlawanan ditempuhi Penang FC iaitu ketika tewas 0-3 kepada Terengganu FC pada aksi pertama dan merekodkan seri 1-1 ketika menentang Melaka FC, tiada sebarang kelibat Limbikani kelihatan bersama pasukan.

Ia sedikit sebanyak menjelaskan situasi Limbikani, dengan pertahanan tengah berketinggian 1.90 meter berkenaan dijangka sudah kembali pulang ke kampung halaman atau mencari pasukan lain.

Menariknya, kejadian menimpa Penang itu sudah berlaku awal di kem Johor Darul Ta'zim (JDT) berikutan musim lepas seorang pemain import Harimau Selatan iaitu Nicolao Cardoso juga tidak sempat merekodkan debutnya.

Penyerang sayap kiri Itali-Romania itu boleh dilabel sebagai pemain paling 'scam' untuk musim 2024/2025 JDT apabila Nicolao tidak pernah membuat sebarang penampilan bersama Harimau Selatan.

Jika melihat rekod kelab terdahulu, Nicolao juga tidak kurang hebatnya apabila pernah menyarung jersi Napoli, Nottingham Forest, Suwon Bluewings dan termasuklah kelab Thailand, Buriram United.

Nicolao bagaimanapun seolah-olah tidak berhasil menunjukkan persembahan memukau ketika aksi latihan dan sesi pramusim, menyebabkan dia tidak tersenarai dalam mana-mana perlawanan hingga terpaksa dipinjamkan ke kelab Liga 1 Indonesia, PSS Sleman.

Sepanjang dipinjamkan ke skuad Laskar Sembada pada Julai 2024, pemain berusia 33 tahun itu sudah tampil dalam 18 perlawanan domestik dan menyumbang merekodkan enam gol dan dua bantuan jaringan buat PSS Sleman.

Nicolao dipinjamkan ke KL City untuk kempen musim ini. — Facebook/KLCityFC

Perkembangan positif bekas pemain skuad kebangsaan Itali bawah 20 tahun itu bersama PSS Sleman bagaimanapun tidak mengembalikannya bersama JDT apabila khidmatnya dipinjamkan ke Kuala Lumpur (KL) City FC untuk musim ini.

Setakat ini, Nicolao sudah diberi peluang dalam dua perlawanan dengan dia dimasukkan sebagai pemain gantian dan merekodkan 23 minit permainan pada aksi menang 3-0 ke atas Imigresen FC dan seri 1-1 menentang Sabah FC.

Situasi Limbikani dan Nicolao mungkin berbeza namun kejadian seperti itu mencetus persoalan mengenai keberkesanan proses pemilihan pemain import yang dibuat sesebuah pasukan tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram