
SELEPAS bermusim-musim sendu tanpa sebarang perkembangan, bola sepak Kelantan seperti menerima nafas baharu apabila tiga pasukan dijangka menjadi tumpuan bagi saingan akan datang.
Ini termasuk Kelantan Darul Naim (KDN) FC yang akan bersaing dalam Liga Super sementara Kelantan Red Warriors (KRW) FC dan Kelantan WTS FC sudah menempah slot dalam saingan Liga A1 Semi Pro.
Meskipun ketiga-tiga daripadanya tidak menjanjikan kejayaan segera, ia memberi gambaran sukan tersebut sudah kembali mendapat tempat selepas hampir dua tahun dirudung pelbagai isu luar padang.
BACA LAGI: Lupakan insiden Apek tepis sepakan penalti, Paulo Josue akhirnya saingi Fandi
Apek mencipta nama dan reputasi bersama skuad TRW lebih 10 tahun lalu.
Tidak terhenti di situ, kemeriahan bola sepak di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu turut dirasakan apabila setiap aksi melibatkan bekas pemain tidak pernah gagal menarik puluhan ribu penyokong.
Sekiranya momentum tersebut dapat diteruskan, penyokong pasti tertarik untuk kembali membanjiri Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan yang pernah sepi tanpa kehadiran peminat.
Harapan itu turut diletakkan bekas pemain kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat yang teruja menyaksikan kebangkitan bola sepak di negeri kelahirannya seperti mana pernah dilihat bertahun-tahun lalu.
"Saya rasa ini adalah perkembangan positif kerana penyokong negeri masih mendahagakan bola sepak di Kelantan, jadi dengan adanya KRW dalam Liga A1 Semi Pro sementara KDN FC dalam Liga Super akan menjadi faktor penyokong kembali ke stadium.
Penyokong tidak putus menghadiri aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV kebelakangan ini. — Facebook/Buletin Bola Kelantan
"Saya percaya bola sepak itu milik penyokong. Jadi, saya harap pasukan dari Kelantan yang akan bertanding boleh terus bersaing dan memberi saingan kepada pasukan musim depan supaya peminat dapat menyokong dengan lebih bersemangat," katanya kepada Majoriti.
Khairul Fahmi yang turut dikenali sebagai Apek sememangnya cukup sinonim dengan perkembangan bola sepak di negeri Pantai Timur tersebut selepas menabur bakti hampir 10 tahun buat skuad The Red Warriors.
Ini termasuk ketika kelab tersebut menjadi pasukan paling digeruni dalam arena tanah air dengan meraih gelaran treble pada 2012 sebelum masalah di luar padang menyaksikan mereka tergelincir dari landasan.
Penjaga gol tersebut kemudian menamatkan tempoh perkhidmatan di Kelantan apabila menyertai Melaka United pada 2018 dan menghabiskan tiga musim beraksi buat skuad Hang Tuah sebelum berkelana ke Borneo tanah air.
Karier dan reputasinya kelihatan kembali bersinar sejak beraksi buat skuad Sang Badak, namun tidak dipastikan sama ada tempohnya bersama kelab itu akan diteruskan atau sebaliknya.
"Perancangan (bersama Sabah FC), itu saya rasa pihak pengurusan yang perlu jawab, saya tidak boleh jawab mengenainya setakat ini. Jadi, kita beri pihak Sabah FC sahaja (menjawabnya)," katanya.
Pada musim pertama Apek bersama skuad Sang Badak, dia berjaya membantu pasukan terbabit melangkah ke Piala AFC 2023 selepas mereka menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga.
Kedudukan itu berjaya dikekalkan untuk dua musim berikutnya dengan kehadiran Khairul Fahmi sebagai figura senior membantu pasukan tersebut bersaing dengan kelab lebih lengkap dalam Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram