
PENJAGA gol veteran, Khairul Fahmi Che Mat memasuki musim ke-18 dalam saingan Liga Super dengan semangat dan kerendahan hati yang sama seperti ketika mula mencipta nama dalam arena bola sepak tempatan.
Penjaga gol berusia 36 tahun yang mesra dikenali sebagai Apek itu akan terus menyarung jersi Sabah, meneruskan khidmatnya bersama skuad Badak sejak 2022.
Walaupun ramai pemain seangkatannya mungkin sudah mula memperlahankan langkah, Khairul kekal berdisiplin dan komited, bukan sahaja menjaga gawang, tetapi turut memainkan peranan penting membimbing generasi baharu penjaga gol Sabah.
BACA LAGI: Keputusan Sri Pahang tarik diri persediaan untuk bangkit kembali — Jamal Nasir
“Prestasi saya musim lalu boleh dikatakan memuaskan, tetapi saya tahu masih ada ruang untuk diperbaiki,” ujar Khairul yang memulakan karier Liga Super pada 2009 bersama Kelantan.
Sepanjang 17 musim beraksi di peringkat tertinggi, dia telah mencatat lebih 400 penampilan kelab serta 61 kap bersama skuad kebangsaan.
Menurutnya, kini adalah masa yang tepat untuk Sabah melonjak lebih tinggi selepas menunjukkan peningkatan konsisten dalam beberapa musim terakhir termasuk tiga musim berturut-turut menamatkan saingan di tempat ketiga.
Import baharu Sabah FC, Dane Ingham (dua kanan), tidak ambil masa lama untuk serasi bersama pasukan. — Facebook/Sabahfc
“Kita dapat lihat kebangkitan Sabah sejak tiga musim lalu. Pasukan lain kini lebih berwaspada apabila bertemu kami. Itu petanda jelas bahawa kami semakin berkembang.
"Kami mahu buktikan yang kami layak berada dalam kelompok terbaik dan kami mahu terus bina momentum ini," ujarnya.
Khairul turut memberi pujian kepada dua pemain import baharu, Dean Pelekanos (Australia) dan Dane Ingham (New Zealand), yang cepat menyesuaikan diri dalam pasukan.
“Dean dan Dane menyesuaikan diri dengan baik. Kami sambut mereka dengan terbuka dan pastikan mereka rasa seperti sebahagian daripada keluarga di sini," katanya.
Ketika bersiap sedia untuk satu lagi musim di gawang, Khairul menegaskan dia tidak dikuasai oleh pencapaian peribadi, tetapi didorong oleh keinginan untuk melihat Sabah terus berjaya.
“Tiga musim berturut-turut di tangga ketiga memang membanggakan, tapi kami mahukan lebih. Kami mahu capai sesuatu yang lebih besar tahun ini untuk kelab, untuk penyokong dan untuk Sabah," ujarnya.
Apek kekal menyarung jersi The Rhinos untuk musim depan. — Facebook/Sabahfc
Apek turut memuji suasana positif yang menyelubungi pasukan daripada fasiliti hingga sokongan peminat sebagai faktor penting yang menyumbang kepada kestabilan prestasi Sabah.
“Kami ada stadium yang baik, kemudahan latihan yang kukuh, dan pemain berada dalam keadaan yang gembira. Peminat juga sangat luar biasa. Saya bangga menjadi sebahagian daripada semua in," jelasnya.
Realistik dengan usia dan tahap fizikalnya, Khairul mengakui tempoh beliau di atas padang mungkin tidak panjang, namun beliau masih bersedia bersaing sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, termasuk dengan rakan sepasukan seperti Damien Lim.
“Tempoh saya mungkin semakin terhad, tapi saya tahu saya masih mampu beri yang terbaik. Damien seorang penjaga gol berkualiti, dan saya tiada masalah untuk bersaing. Yang paling penting ialah kepentingan pasukan.
“Sebagai pemain senior, saya mahu bantu dan bimbing penjaga gol muda. Sekarang kami ada dua orang dari skuad Bawah-23 bersama pasukan utama. Saya akan bantu mereka dalam latihan dan perlawanan kongsi pengalaman, beri tunjuk ajar dan motivasi," tambahnya. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram