'Jika bukan kerana ketegasan JDT, sudah lama Arif Aiman beraksi di Sepanyol'


  • Podium
  • Sabtu, 16 Ogos 2025

Bakat Arif Aiman sememangnya sudah diketahui secara meluas selepas pemain itu bersinar di peringkat tertinggi. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

BAKAT Arif Aiman Hanapi sudah diketahui dengan meluas di pentas Asia apabila dia tidak pernah mengecewakan setiap kali turun beraksi buat Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

Lapan gol dan lima bantuan jaringan direkodkan daripada 28 penampilan di pertandingan tersebut membuktikan pemain sayap tersebut mempunyai nilai tersendiri buat pasukannya.

Jadi, tidak hairanlah apabila beberapa khabar angin pernah tersebar di media sosial mengatakan bintang berusia 23 tahun itu berada dalam radar kelab luar negara.

BACA LAGI: Pernah dilabel lebih hebat berbanding Arif Aiman, sayangnya Messi-Neymar Malaysia 'karam' angkara cedera dan konsistensi

BACA LAGI: Saya letak mindset tidak berasa diri lebih dari sesiapa — Arif Aiman

Persepolis FC di Iran merupakan antara kelab yang cukup berminat akan khidmatnya.

Rangers FC di Scotland dan gergasi Iran, Persepolis FC dikatakan menjadi antara pasukan yang berminat, namun ura-ura berkenaan tidak pernah disahkan mana-mana pihak.

Tetapi, lama sebelum nama Arif Aiman terkenal di pentas Asia, potensi penyerang lincah itu rupanya pernah disedari kelab Sepanyol seperti mana dikongsikan pemantau bakat, Adam Sariman menerusi platform X.

Dalam satu hantaran dibuat pada Khamis, individu tersebut menceritakan bagaimana pemain kelahiran Pahang itu hampir berkelana ke Eropah pada usia muda.

"Kita boleh menyaksikan Arif Aiman beraksi di Sepanyol beberapa tahun lalu, tetapi kelab yang dimaksudkan enggan membayar yuran perpindahan seperti mana ditetapkan JDT dengan hal itu sememangnya mengecewakan.

Arif Aiman dikatakan berada dalam radar kelab Sepanyol beberapa tahun lalu.

"JDT bersikap tegas dengan penilaian ditetapkan dan kelab tersebut memilih untuk tidak meneruskan rundingan kerana tidak mahu mengambil risiko dengan persoalan 'Mampukah dia berjaya di sini' bermain," tulisnya.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pernah menyatakan pihak pengurusan tidak pernah menghalang perpindahan pemain ke luar negara, namun kelab ditujunya perlu mempunyai visi besar di peringkat lebih tinggi.

Kenyataan tersebut dibuat sebagai balas terhadap dakwaan sesetengah pihak menyatakan gergasi bola sepak tanah air itu menutup bintang utama pasukan untuk mencari pengalaman meluas.

Hal berkenaan turut disokong pemantau bakat terbabit yang percaya JDT akan menerima tawaran sekiranya berpatutan sambil melihat Arif Aiman berpeluang ke luar negara.

Arif Aiman menjadi watak utama skuad Harimau Selatan sepanjang bermusim-musim bersama pasukan utama. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Saya berasakan ia merupakan hal normal dalam bola sepak apabila sesebuah kelab akan menilai situasi terlebih dahulu. Tetapi, saya melihat mentaliti pemain Asia Tenggara akan bergelut di Eropah perlu dihapuskan.

"Arif Aiman merupakan contoh terbaik, perkembangan ditonjolkan dari segi permainan terhasil selepas diberikan minit permainan mencukupi dalam pasukan utama, lebih-lebih lagi di pentas ACL," katanya.

Adam Sariman turut mengatakan tidak mustahil sekiranya tawaran berbaloi akan diberikan kepada JDT dalam masa terdekat sekiranya pemain tersebut beraksi secara konsisten. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram