
PRESTASI Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite sudah tentu menjadi tumpuan utama peminat bola sepak tempatan selepas majlis undian pada Jumaat meletakkan kelab itu dalam posisi sukar.
Manakan tidak, skuad Harimau Selatan yang berada di tangga ketiga dalam fasa liga pada edisi lalu akan berdepan tiga wakil dari Jepun yang sudah diketahui ramai akan kebolehan dan kualiti mereka.
Pasukan dimaksudkan ialah Vissel Kobe dan Machida Zelvia yang akan dihadapi di laman sendiri sementara aksi menentang Sanfrecce Hiroshima akan berlangsung di Negara Matahari Terbit itu.
BACA LAGI: ACLE: Pertembungan panas JDT-Buriram United berpotensi berlaku seawal peringkat kumpulan
BACA LAGI: [VIDEO] Tak sangka, tonggak tengah JDT rupanya ‘cikgu’ Bahasa Melayu Fergus Tierney
Hasil undian tahun ini meletakkan skuad Harimau Selatan dalam posisi sukar untuk melangkah ke peringkat seterusnya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Selain diundi dengan ketiga-tiga kelab Jepun itu, skuad Harimau Selatan turut dijadualkan bertemu Shanghai Port, Shanghai Shenhua, Chengdu Rongcheng (China), Buriram United (Thailand) serta Melbourne City FC (Australia).
Ini merupakan cabaran hebat buat anak-anak buah Xisco Munoz memandangkan rekod lampau menyaksikan mereka bergelut setiap kali berdepan kelab Jepun.
Tidak cukup dengan itu, prestasi JDT ketika ini juga belum cukup meyakinkan, lebih-lebih lagi selepas benteng pasukan dibolosi tiga kali semasa menerima kunjungan Negeri Sembilan FC pada Selasa lalu.
Situasi sedemikian membuatkan peminat turut berasa gusar akan peluang skuad Harimau Selatan melangkah ke pusingan kalah mati kerana mereka juga tahu ujian menanti.
Perasaan berkenaan dikaitkan dengan hasil undian musim lalu apabila juara Liga Super itu berjaya mengelak sebarang perlawanan berdepan kelab Jepun dengan hanya wakil Korea Selatan menjadi ujian getir.
Skuad Harimau Selatan selesa melepasi fasa liga dalam saingan ACL Elite 2024/25. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Tahun lepas, kita tidak bertemu pasukan Jepun, tahun ini tidak berdepan mana-mana kelab Korea Selatan pula. Seram sikit kerana dengan pasukan Korea Selatan, kita masih boleh menang.
"Kalau JDT menggunakan taktikal seperti tahun lalu, boleh berasa yakin sedikit tetapi berbeza dengan gaya tahun ini. Dua aksi awal Liga Super tidak cukup meyakinkan," kata Nur Muhammad.
"Musim lalu, di laman sendiri kita berdepan Buriram United dan ambil mudah, akhirnya kecewa sendiri. Musim ini pula, kita akan bertemu kelab Jepun dan China, harap tak jadi pasukan belasahan," kata Muhammad Rafie.
"JDT lebih selesa berdepan pasukan Korea, malangnya perlu hadapi kelab Jepun pula, Visel Kobe tu hebat. Selepas itu, jumpa Buriram di tempat mereka pula. Harap yang terbaik untuk JDT agar dapat mengecapi kemenangan," kata Bakar Ghaffar.
Wakil tunggal negara itu perlu berada dalam kedudukan lapan pasukan teratas sekiranya mahu melangkah ke pusingan kalah mati seperti mana berjaya dilakukan dalam edisi lalu.
Untuk rekod, kali terakhir skuad Harimau Selatan berdepan pasukan dari negara itu adalah ketika peringkat kumpulan ACL 2023/24 apabila mereka diundi di samping Kawasaki Frontale dengan kedua-dua perlawanan berakhir dengan kekalahan.
Secara keseluruhan, JDT hanya merekodkan satu kemenangan dan satu keputusan seri ketika berdepan kelab Jepun daripada 12 perlawanan dengan baki daripadanya berakhir dengan kekalahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp ChanneldanTelegram