Usah risau Liverpool, kalah 'piala dulang' bantu The Reds elak 'sumpahan' Perisai Komuniti FA


  • Podium
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Liverpool tidak perlu terlalu kecewa kerana tumpas dalam aksi Perisai Komuniti FA.

LIVERPOOL memulakan musim bola sepak Inggeris dengan langkah kiri selepas mereka tumpas kepada Crystal Palace dalam aksi Perisai Komuniti FA pada Ahad.

Kekalahan 2-3 menerusi sepakan penalti selepas aksi 90 minit berakhir 2-2 menyaksikan Palace sebagai juara Piala FA Inggeris musim lalu membawa pulang gelaran pembuka musim.

Walaupun tumpas, Liverpool harus menarik nafas lega kerana sekurang-kurangnya mereka berjaya mengelak daripada terkena sumpahan kerana memenangi piala dulang pembuka musim.

BACA LAGI: Kelibat 'ubi' Liverpool-Arsenal-Man United menyinar semasa pra-musim, kelab Liga Super wajar lebih percayakan pemain muda

BACA LAGI: Liverpool malas layan 'demand' Newcastle, kejar bintang Real gantikan Isak

Badi menang liga

Walaupun ia tidak boleh disahkan secara saintifik atau kajian makmal, memenangi Perisai Komuniti FA lazimnya sering membawa malang kepada si pemenangnya.

Hal ini kerana, jika pemenangnya merupakan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), lazimnya akan terlepas genggaman trofi tersebut.

Ia dapat disaksikan mengikut statistik, dalam 14 pemenang terakhir Perisai Komuniti FA, cuma satu kelab yang berjaya meraih gelaran liga selepas memenangi aksi pembuka musim.

Rekod tersebut dilakukan oleh Manchester City pada 2018/2019 apabila mereka meraih Perisai Komuniti FA serta gelaran EPL pada musim sama.

Persembahan baik muka baharu

Walaupun tumpas, namun Liverpool harus menarik nafas lega kerana mereka cuma kalah dalam penentuan sepakan penalti.

Namun semasa aksi 90 minit, para pemain Liverpool berjaya memberikan persembahan baik semasa perlawanan terutamanya muka-muka baharu yang dibawa masuk.

Penyerang, Hugo Eketike serta pemain pertahanan, Jeremie Frimpong berjaya membuka akaun jaringan bersama Liverpool sambil Florian Wirtz turut menghasilkan bantuan jaringan.

Ia semestinya memberikan keyakinan buat Arne Slot menjelang musim baharu EPL dan misi mempertahankan kejuaraan liga.

Orang lama perlu bangkit

Di saat pemain baharu mencuri perhatian dengan persembahan mereka, terdapat juga kerisauan berkenaan persembahan orang dalam skuad Liverpool.

Semasa bertemu Palace, pemain-pemain senior seperti Mohamed Salah dan Virgil van Dijk antara yang dilihat goyah berdepan pemenang Piala FA Inggeris itu.

Salah (kanan) tidak memberi impak dalam aksi bertemu Crystal Palace.

Ia turut ditambah prestasi Salah yang dianggap sepi tanpa sebarang gol atau bantuan jaringan dihasilkan pada perlawanan tersebut.

Masa berbaki seminggu sebelum misi mempertahankan EPL bermula, oleh itu Liverpool harus bangkit demi mengejar kejuaraan liga ke-21. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram