[VIDEO] Killer Perak Bison kongsi rahsia 'comeback' lepas pertarungan 98 minit menentang Penang Black Panthers


  • Podium
  • Khamis, 14 Ogos 2025

Aksi lincah Noraizat (dua kanan) menanduk bola tepat ke gelanggang lawan, mencuri mata penting buat Perak Bison. — Facebook/STL

PERAK Bison mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Penang Black Panthers dalam aksi dramatik Liga Sepak Takraw (STL) 2025 Grand Prix Perak yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada Rabu.

Perlawanan yang berlangsung selama 98 minit itu menyaksikan Perak Bison, yang dibarisi oleh Kritsada Sungvung selaku tekong, Aidil Aiman (pengumpan) dan Noraizat Nordin sebagai perejam berjaya menundukkan lawan mereka dalam pertembungan tiga set yang penuh intensiti.

Set pertama menyaksikan Penang Black Panthers, yang dibarisi oleh Imran Fazli (tekong), pemain import Indonesia Rusdi (killer) dan Irzan Nazri (pengumpan), mencuri tumpuan awal dengan kemenangan 15-13.

BACA LAGI: Rindu membekas di hati, duo bintang Liga Super sukar lupakan jasa kelab lama

BACA LAGI: ‘Penang kena scam?’, khabarnya bintang import ditamatkan kontrak, cuma sempat main beberapa minit aksi pramusim

Namun, Perak Bison tidak mudah mengalah, mereka bangkit pada set kedua dengan aksi lebih kemas dan tersusun, sekali gus mengikat kedudukan 1-1 selepas mencatat kemenangan 15-11.

Momentum itu diteruskan dalam set penentuan yang berlangsung sengit, sebelum Perak Bison memastikan kemenangan 17-15.

Tonggak penting dalam kemenangan Perak Bison, Noraizat menyifatkan sokongan padu penyokong tempatan sebagai faktor utama kebangkitan pasukannya.

“Selain semangat kami untuk bangkit dan elak kesilapan kecil, sokongan penyokong juga memberi kami dorongan luar biasa, terutamanya pada set kedua,” katanya.

Selepas ini, Perak Bison akan berdepan cabaran getir apabila bakal bertemu Selangor Pistons pada Jumaat (15 Ogos) di venue yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram