
BERBAKI kira-kira seminggu sebelum saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), setiap kelab dilihat sedang melakukan persiapan terakhir selepas melakukan pelaburan sepanjang jendela perpindahan.
Tetapi, ada juga yang masih sibuk dengan aksi pramusim bagi memastikan setiap pemain, terutama rekrut baharu supaya dapat menyesuaikan diri dengan segera dalam pasukan.
Antara yang sedang berbuat demikian ialah Manchester United yang dijadualkan berdepan kelab Itali, Fiorentina di laman sendiri sebagai aksi persahabatan terakhir dalam tempoh pramusim kali ini.
BACA LAGI: [VIDEO] De Gea rajin berlatih petanda sertai Newcastle dalam masa terdekat
BACA LAGI: De Gea beri emoji berfikir seperti mahu kembali ke Man United
De Gea kembali menemui rentak selepas menyertai Fiorentina. — Agensi
Ini merupakan keputusan cukup baik buat skuad kendalian Ruben Amorim berkenaan kerana lawan mereka itu tidak kurang hebatnya selepas berada di tangga ketujuh musim lalu.
Lebih menarik lagi, pertembungan tersebut bakal menyaksikan bekas tonggak The Red Devils, David de Gea kembali ke Stadium Old Trafford buat kali pertama sejak meninggalkan kelab terbabit.
Penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu menghabiskan 12 musim bersama Manchester United dengan pelbagai kejayaan dikecapi, termasuk takhta EPL pada 2012/13 serta Piala FA 2016.
Namun, tempohnya bersama kelab tersebut berakhir dengan pahit setelah bekas pengurus, Erik ten Hag memutuskan untuk tidak melanjutkan kontraknya bagi memberi ruang buat rekrut baharu, Andre Onana.
Selepas semusim tidak terikat dengan mana-mana pasukan, de Gea menyertai Fiorentina bagi kempen 2024/25 dengan dia mudah menyesuaikan diri sehingga diangkat sebagai tonggak utama skuad La Viola.
De Gea (kanan) meninggalkan skuad The Red Devils ketika ten Hag menjadi pengurus pasukan. — Agensi
Peluang kembali ke Stadium Old Trafford sememangnya bermakna buat penjaga gawang berusia 34 tahun itu sempat mengirimkan mesej buat peminat The Red Devils menerusi hantaran di Instagram peribadinya.
"Seperti mana anda tahu, saya akan kembali ke rumah anda. Sudah tentu ia akan menjadi perlawanan istimewa buat saya. Bruno (Fernandes), anda tahu anda tidak boleh jaringkan gol berdepan saya.
"Jika anda berjaya skor, ketahuilah itu adalah kerana saya memberi peluang buat awak semoga peminat akan terus bersama anda. Saya tidak sabar untuk bertemu anda di sana nanti," katanya.
Sepanjang bersama The Red Devils, de Gea merekodkan 545 penampilan buat kelab tersebut dengan catatan itu meletakkannya di tangga ketujuh bagi rekod sepanjang zaman.
Meskipun mengalami kemerosotan dari segi persembahan pada tahun-tahun terakhirnya, pemain terbabit masih diangkat sebagai antara yang terbaik pernah bersama kelab itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram